SARAWAK dijangka memasuki kategori ‘negeri tua’ sekitar 2028-2029.
Takrif yang biasa digunakan dalam Dasar Warga Emas Negara ialah apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), individu berusia 60 tahun dan ke atas dikategorikan sebagai warga tua. Keputusan yang dibuat di Vienna, Austria pada 1982 itu turut diterima pakai oleh semua negara Asean, termasuk Malaysia.
Namun, satu perkara penting yang perlu diingatkan ialah jangan gambarkan ‘negeri tua’ sebagai bermaksud majoriti penduduk Sarawak sudah tua. Ia hanya ambang demografi 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas.
Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini meletakkan Sarawak mencapai 15 peratus pada 2029, selepas Perak pada 2025.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan peralihan mungkin berlaku lebih awal. Pada April 2026, kerajaan Sarawak menyatakan sekitar 14 peratus penduduk Sarawak sudah berumur 60 tahun ke atas dan menjangkakan Sarawak menjadi ‘ageing state’ pada 2028.
Data negeri yang dilaporkan pada Oktober 2026 pula merekodkan kira-kira 333,200 penduduk berumur 60 tahun ke atas pada 2025, bersamaan 13.2 peratus daripada penduduk Sarawak.

Antara kawasan yang mempunyai kadar warga emas tinggi ialah Sri Aman (20.3 peratus), manakala Lubok Antu (22.8 peratus di peringkat daerah.
Jadi apa persiapan Sarawak untuk jadi negeri tua? Kerajaan mungkin ada perancangan tersendiri tetapi pihak swasta juga perlu proaktif.
Contohnya, buka laluan khas di pasar raya untuk warga emas, kerana kadangkala deretan barisan panjang menunggu giliran untuk membayar di kaunter. Letih bagi orang tua menunggu lama terutama yang menghidap penyakit lutut.
Wajibkan
Kerajaan perlu merangka dasar untuk mewajibkan setiap pasar raya besar mempunyai laluan khas warga emas di kaunter pembayaran.
‘Food court’ pula perlu menyediakan lorong untuk laluan kerusi roda. Buka kaunter warga emas dalam bank kerana sesetengah urusan tidak boleh dibuat melalui ‘online banking’.
Pihak berkuasa juga perlu melihat kepada skop yang lebih meluas termasuk merangka program perumahan, kompleks beli-belah dan riadah yang mesra warga emas seperti menyediakan laluan yang boleh dilalui kerusi roda.
Setiap bank, jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya dan majlis tempatan perlu membuka kaunter khas untuk warga emas, berurusan.
Setiap Dewan Bandaraya dan majlis perbandaran juga perlu mewujudkan elemen mesra usia terutama bagi memudahkan pergerakan warga emas.
Sudah tentu undang-undang berkaitan perlu dinamik dan sekiranya ada penggubalan baharu atau penambahbaikan dibuat kepada undang-undang sedia ada, maka penguatkuasaannya diharap dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

Hanya dua tiga tahun lagi dan kita sedang bergerak ke arah negeri tua. Perancangan perlu dibuat sekarang.
Apa perancangan kerajaan Sarawak?
Kerajaan negeri kini sedang melihat isu penuaan bukan sekadar sebagai soal bantuan kebajikan, tetapi melibatkan kesihatan, kewangan, penjagaan, perumahan, membiliti dan kehidupan sosial.
Kajian Research on Preparation for an Ageing Sarawak: The Profile of and Ageing Issues of Older Persons in Sarawak melibatkan 6,094 responden di 12 bahagian dan 45 daerah. Antara isu yang dikaji ialah kesihatan dan mobiliti, keselamatan kewangan, penjagaan, tempat tinggal, akses perkhidmatan dan literasi digital.
Dapatan ini menjadi input kepada Sarawak Ageing Blueprint (Pelan Induk Penuaan Sarawak).
Antara persediaan yang sudah ada:
- Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE). Terdapat PPWE di Kuching, Betong, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang. Ia menyediakan aktiviti sosial/rekreasi, kemudahan aktiviti serta sokongan supaya warga emas kekal aktif dan tidak tersisih.
- Bantuan kebajikan
Bantuan Warga Emas (BWE) melalui JKM kini ialah RM600 sebulan bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas yang memenuhi syarat kelayakan pendapatan dan kebajikan.
3. SKAS 2026
Warga emas yang memenuhi syarat tertentu boleh menerima RM600 di bawah kategori warga emas Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS). Antaranya berumur 60 tahun ke atas, tiada pasangan/anak yang layak dan pendapatan kasar bulanan tidak melebihi RM5,000.
4.Khidmat bantu di rumah
Program ini memberi sokongan sosial kepada warga emas, khususnya mereka yang tinggal bersendirian atau memerlukan sokongan, melalui lawatan ke rumah.
5. Rumah Seri Kenangan
Sarawak menyediakan perlindungan dan penjagaan institusi untuk warga tua yang layak, termasuk Rumah Seri Kenangan Kuching dan Sibu.
6. Kesihatan
Dalam program kerajaan negeri pada 2026, perkhidmatan kesihatan untuk warga emas termasuk saringan kesihatan, konsultasi dan vaksin influenza percuma.
7. Tenaga kerja penjagaan
Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada pegawai perkhidmatan awam Sarawak yang bertugas di institusi penjagaan warga emas, berkuat kuasa 1 Jun 2026.
8. Kenyalang Gold Card (KGC) khusus untuk warga Sarawak berumur 60 tahun ke atas. Memberikan akses kepada diskaun dan keistimewaan daripada peniaga serta perkhidmatan yang mengambil bahagian.
Faedah kesihatan warga emas. Sehingga RM500 setahun seorang. Rawatan pesakit luar tanpa tunai di lebih 290 klinik panel di seluruh negeri.
Syarat utama
- Umur 60 tahun ke atas
- Pemegang MyKad status K
- Pendapatan isi rumah RM7,000 ke bawah
- Tidak menerima pembiayaan/perlindungan rawatan pesakit luar yang sama daripada agensi lain.
Cabaran besar 2028
Apabila jumlah warga emas meningkat, keperluan turut berubah.
Kesihatan: Penjagaan jangka panjang, pendapatan dan simpanan, perumahan mesra warga emas, pengangkutan dan mobiliti, keselamatan daripada penipuan serta keterangkuman digital,
Dasar warga tua Sarawak sendiri menekankan aspek berdikari, pengangkutan, perumahan, sokongan keluarga, kesihatan dan keselamatan sosial.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak



