TAIPEI: Taipei berada pada kedudukan kelapan sebagai bandar pintar di dunia, menurut indeks yang diterbitkan oleh Institut Pengurusan Pembangunan Antarabangsa (IMD) pada Khamis, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA).
Ibu negara Taiwan itu jatuh satu kedudukan berbanding tahun lalu dalam indeks IMD, yang memasuki tahun kedua.
Singapura, Helsinki dan Zurich menjadi bandar terpintar di dunia, seperti ditunjukkan indeks tersebut, pada ketika kebimbangan yang semakin meningkat terhadap masa depan bandar-bandar dunia pada era pasca-Covid-19.
IMD yang berpusat di Lausanne meninjau lebih daripada 13,000 orang di 109 bandar, yang ditanya tentang bagaimana mereka menerima kesan teknologi di lima bidang; kesihatan / keselamatan, mobiliti, aktiviti, peluang dan tadbir urus.
“Masih terlalu awal untuk melihat kesan akhir daripada Covid-19. Namun, jelas kita berada pada waktu yang kritikal, dengan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan sosial yang kesannya baru sahaja bermula, ” kata Bruno Lanvin, Presiden Pemantau Bandar Pintar IMD, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web IMD.
“Indeks Bandar Pintar tahun ini menunjukkan bandar-bandar yang telah dapat menggabungkan teknologi, kepemimpinan dan kekuatan budaya untuk ‘hidup dan bertindak bersama’ yang mampu bertahan dengan lebih baik daripada kesan krisis yang merosakkan,” kata Lanvin dalam kenyataan itu .
“Bandar-bandar ‘pintar’ di dunia tidak sekadar menggunakan teknologi baharu, mereka memastikan ia benar-benar meningkatkan kehidupan warganya,” kata Pengarah Pusat Daya Saing Dunia IMD Arturo Bris, seperti dipetik dalam laporan Reuters pada Khamis.
“Saya berpendapat kita telah beralih ke dunia menyaksikan kita akan lebih berselerak. Kita akan lebih selamat jika kita tinggal di bandar-bandar kecil,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Daripada 10 senarai teratas, Auckland, Oslo, Copenhagen dan Geneva berada di kedudukan keempat hingga ketujuh, mendahului Amsterdam dan New York di tempat kesembilan dan ke 10. Abuja, ibu negara Nigeria, Nairobi, ibu negara Kenya, dan Lagos, bandar terbesar di Nigeria, berada di kedudukan terbawah.- Bernama