Mahkamah AS gantung sementara peraturan visa baharu pelajar, wartawan

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) buat sementara waktu dihalang daripada melaksanakan peraturan baharu yang mengehadkan tempoh pelajar asing dan wartawan boleh berada di negara itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sebuah mahkamah persekutuan mengeluarkan injunksi awal yang menghalang Jabatan Keselamatan Dalam Negeri daripada melaksanakan peraturan visa baharu seperti dirancang hari ini.

Bagaimanapun, cabaran undang-undang terhadap dasar itu masih diteruskan, dan keputusan muktamad mengenainya belum dibuat.

Tindakan undang-undang itu difailkan oleh gabungan presiden universiti, kumpulan pendidikan dan kesatuan sekerja yang memperjuangkan kepentingan pelajar asing.

Di bawah rancangan pentadbiran Trump, pelajar dan peserta program pertukaran secara umumnya hanya dibenarkan tinggal tidak melebihi empat tahun, manakala wartawan boleh berada di AS sehingga 240 hari bagi setiap tempoh kemasukan.

Bagi kedua-dua kategori itu, permohonan lanjutan tempoh tinggal boleh dibuat tanpa perlu meninggalkan negara berkenaan.

Visa F untuk pelajar, visa J bagi peserta program pertukaran dan visa I untuk wartawan sebelum ini beroperasi di bawah sistem berbeza yang membenarkan pemegangnya tinggal sepanjang tempoh status mereka, bukannya bagi tempoh tetap.

Bagi pelajar, mereka secara umumnya boleh kekal sepanjang tempoh pengajian, manakala wartawan pula boleh terus berada di AS selagi menjalankan tugas yang sama untuk majikan yang sama.

Dalam keputusannya, Hakim F Dennis Saylor berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri gagal memberikan analisis kos dan manfaat yang meyakinkan bagi cadangan perubahan berkenaan.

Beliau turut mengkritik jabatan itu kerana tidak mempertimbangkan pilihan lain secara serius atau memberikan penjelasan mencukupi mengapa pilihan berkenaan ditolak.

Saylor berkata had empat tahun itu kelihatan sewenang-wenangnya, sambil menyatakan tempoh purata pengajian sebenarnya antara 5.7 hingga 7.3 tahun. – Bernama