KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kuching, hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Peringkat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) bersama Kerajaan Sarawak, esok.
Menurut laman Facebook rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, hari ini.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala; serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben.
Mesyuarat HLC berkenaan dijangka memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam pengurusan bencana, selain meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Perbincangan berkenaan turut dijangka memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengurusan dan tindak balas bencana dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan antara kedua-dua pihak.




