MUKAH, 13 November: Empat atlet Persatuan Wushu Bahagian Mukah menerima angpau daripada Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, sebagai penghargaan atas kejayaan cemerlang mereka meraih pingat pada Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan KPM-WFM Ke-15 2026 yang berlangsung di KSL Esplanade Mall, Klang, Selangor dari 25 hingga 29 Oktober lalu.
Penyampaian angpau itu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha, komitmen dan dedikasi atlet berkenaan yang berjaya mengharumkan nama Bahagian Mukah menerusi pencapaian membanggakan di kejohanan yang menghimpunkan atlet wushu muda dari seluruh negara.
Peleadzman berkata, kejayaan itu merupakan satu pencapaian membanggakan dan wajar diberikan pengiktirafan sebagai dorongan kepada atlet untuk terus meningkatkan prestasi dalam bidang sukan.
Menurutnya, sokongan serta galakan berterusan amat penting bagi memastikan atlet muda kekal bersemangat menjalani latihan dan berani menyahut cabaran di peringkat yang lebih tinggi.
Empat atlet yang menerima penghargaan ialah Benson Hii Nian You, Gladys Ho Shu Xuen, Daniel Tu Zheng Jin dan Awangku Haziq Awangku Kamarul.
Benson, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Mukah, muncul penyumbang pingat emas menerusi acara Nanquan Kumpulan A dengan kutipan 9.036 mata. Beliau turut memenangi pingat perak dalam acara Nangun Kumpulan A (9.093 mata) serta menduduki tempat kelapan daripada 12 peserta dalam acara Nandao Kumpulan A dengan 8.866 mata.
Gladys, 12, murid Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hua, Dalat, pula meraih pingat gangsa dalam acara Nanquan Kumpulan C selepas mencatatkan 8.273 mata.
Beliau turut beraksi dalam acara Nandao dan Nangun Kumpulan C, masing-masing memperoleh 7.933 dan 8.286 mata.
Sementara itu, Daniel, 12, dari SJKC Ek Hua, menyertai tiga acara Kumpulan B iaitu Changquan, Jianshu dan Qiangshu. Beliau mencatatkan 8.156 mata dalam Changquan, 8.026 mata bagi Jianshu dan 7.576 mata dalam Qiangshu.
Bagi disiplin Sanda, Awangku Haziq Awangku Kamarul, 15, pelajar Tingkatan Tiga SMK Three Rivers, Mukah, menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori bawah 15 hingga 17 tahun kelas 56 kilogram.
Peleadzman berkata, kejayaan atlet-atlet itu membuktikan bakat besar yang dimiliki anak-anak Mukah serta mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi sukan wushu dan terus mengharumkan nama daerah di peringkat negeri serta kebangsaan.




