Cadangan kompleks pendidikan khas di Sarawak perlu dikemukakan kepada kementerian – Nancy

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri berucap pada Majlis Apresiasi dan Motivasi Murid Berkeperluan Khas Sekolah Kebangsaan Astana Tahun 2026 di PCC, Demak.

KUCHING, 14 November: Cadangan mewujudkan kompleks pendidikan khas di Sarawak perlu dikemukakan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihak sekolah boleh mengemukakan cadangan berkenaan kepadanya untuk dibawa kepada kementerian berkenaan.

“Sebenarnya, cadangan itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan. Pihak sekolah juga boleh menyampaikannya kepada saya supaya saya dapat membantu membawanya kepada kementerian berkenaan.

“Saya amat menyokong usaha ini kerana ia merupakan satu misi yang amat diharapkan. Saya juga berharap sekiranya direalisasikan, kompleks ini akan menjadi antara yang pertama seumpamanya di Sarawak,” katanya.

SESI penyampaian sijil penghargaan sempena Majlis Apresiasi dan Motivasi Murid Berkeperluan Khas Sekolah Kebangsaan Astana 2026 di PCC, Demak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Motivasi Murid Berkeperluan Khas Sekolah Kebangsaan Astana 2026 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nancy turut berkongsi pengalamannya melawat pusat swasta untuk orang kurang upaya (OKU) serta sekolah kerajaan di Amerika Syarikat (AS) bagi meninjau pendekatan pendidikan dan penjagaan murid berkeperluan khas.

“Antara pendekatan yang menarik perhatian saya ialah pengajaran kemahiran hidup atau living skills bagi membantu murid berdikari selepas menamatkan persekolahan.

“Pengalaman itu memberi peluang kepada saya untuk melihat pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan di Malaysia dalam usaha membantu kanak-kanak berkeperluan khas,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah