Piala FA: FAM Terima laporan rasmi Kuching City, Selangor berhubung insiden kekecohan

Facebook
WhatsApp
SIASATAN terperinci akan dilakukan selepas FAM menerima laporan rasmi daripada kedua-dua pasukan. Foto: Facebook Kuching City

KUALA LUMPUR, 13 November: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima laporan rasmi daripada Kuching City FC dan Selangor FC berhubung insiden kekecohan ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching Ahad lepas.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan kedua-dua kelab itu akan diteliti bersama laporan rasmi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara itu dapat ditangani mengikut peraturan serta prosedur tatatertib.

Menurut FAM, sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti laporan serta bukti dikemukakan.

“FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara. Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Selasa lepas, MFL telah menyerahkan laporan serta bukti insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City dan Selangor kepada FAM untuk tindakan lanjut.

Selepas tewas 1-2 pada aksi separuh akhir pertama, Kuching City bangkit mengatasi Selangor dengan kemenangan agregat 3-2 Ahad lepas dan akan bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final yang dijadual berlangsung 16 Januari depan. – Bernama