
SARIBAS: Bangunan Tabika Kemas di Kampung Serabang dekat sini musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran petang ini, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan media mengesahkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.17 petang.
Menurut kenyataan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang diketuai Komander Operasi, PBK I TBBK I Yusof Tamin, segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pihak bomba terpaksa memindahkan peralatan kebombaan ke dalam kenderaan utiliti kerana laluan yang sempit menghalang jentera pemadam kebakaran dan penyelamat (FRT) daripada memasuki kawasan kebakaran.

Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran melibatkan struktur jenis tidak kekal berukuran 60×24 kaki persegi yang telah terbakar sepenuhnya.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan bagi mengawal dan memadam kebakaran.
Kerja-kerja pemeriksaan serta pembersihan menyeluruh turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca atau sisa kebakaran yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera FRT, Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Urvan.
Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM). Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.14 petang.
Punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman