Kepercayaan rakyat jadi pembakar semangat untuk terus bangunkan DUN Bukit Saban

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menyampaikan amanat beliau selepas diumum pemenang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N.37 Bukit Saban. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 28 Nov: Kemenangan tanpa bertanding bukan sekadar kejayaan mempertahankan kerusi, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dibalas dengan kerja keras dan komitmen berterusan demi kesejahteraan rakyat.

Itu penegasan Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).

Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Bukit Saban atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sehingga membolehkan beliau terus berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Menurutnya, kemenangan itu memperlihatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus menjadi dorongan untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang.

“Bagi saya, kemenangan tanpa bertanding ini merupakan satu tanggungjawab. 

“Saya akan terus komited memainkan peranan sebagai wakil rakyat Bukit Saban dengan meneruskan pembangunan yang telah kita laksanakan,” katanya.

Uggah berkata, pembangunan kawasan itu akan terus memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah, memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh akses kepada pendidikan.

Katanya, peluang pendidikan dan pekerjaan perlu terus dipertingkat bagi memastikan generasi muda mempunyai ruang lebih luas untuk membina masa depan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Beliau turut memberi jaminan bahawa penduduk Bukit Saban tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pelbagai inisiatif pembangunan yang dirancang kerajaan GPS.

“Kita tidak akan mengecewakan rakyat dan akan terus bekerja bersungguh-sungguh,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Sarawak amat bertuah kerana mempunyai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memiliki visi, keberanian serta perancangan jelas untuk memacu ekonomi negeri.

“Kita amat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin seperti Premier yang mempunyai visi, keberanian serta perancangan untuk membawa Sarawak ke arah ekonomi masa depan yang lebih progresif,” ujarnya.

Uggah berharap kepercayaan yang diberikan rakyat akan terus menjadi asas kepada kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan agenda pembangunan Bukit Saban dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Baginya, kemenangan tersebut bukan noktah kepada perjuangan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan rakyat terus menikmati pembangunan dan kehidupan yang lebih sejahtera.

Oleh Adi Safarman