KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menuntut penjelasan mengenai janji pengambilalihan syarikat penerbangan yang dicadangkan oleh kerajaan Sarawak serta penurunan harga tiket penerbangan bagi rakyat negeri ini.
Chong mengeluarkan kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman semalam, dengan menyatakan bahawa Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebelum ini mengumumkan cadangan pengambilalihan syarikat penerbangan oleh kerajaan negeri.
Katanya, salah satu justifikasi yang diberikan adalah untuk mengurangkan harga tiket penerbangan ke dan dari Sarawak serta Semenanjung Malaysia, terutamanya pada musim perayaan dan cuti.
Chong berkata, cadangan tersebut mendapat ‘lampu hijau’ dari Kerajaan Persekutuan tetapi sehingga kini, ia masih kekal sebagai cadangan tanpa sebarang perkembangan konkrit.
“Rakyat Sarawak terus terkesan akibat daripada kelewatan atau ketidaklaksanaan cadangan tersebut.
“Di bawah pimpinan Anthony Loke, Kementerian Pengangkutan buat kali pertama dalam sejarah melaksanakan harga siling untuk penerbangan tertentu pada musim perayaan dengan Kerajaan Persekutuan mengatur penerbangan tambahan dan memberi subsidi untuk harga tiket yang melebihi harga siling ditetapkan,” kata Chong dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa langkah ini hanya merupakan langkah sementara dengan bajet yang diperuntukkan hanya untuk musim perayaan tertentu.
Beliau menggesa kerajaan Sarawak agar mencontohi dan melengkapkan usaha ini dengan memperluaskan subsidi tersebut untuk tempoh di luar musim perayaan yang dibajetkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kenyataan Fazzrudin, menurut Chong, menunjukkan bahawa pemimpin muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengambil berat tentang nasib rakyat Sarawak dan hanya mengkritik untuk kepentingan politik semata-mata.
“Jika beliau tidak mengetahui status terkini mengenai cadangan pengambilalihan syarikat penerbangan ini, lebih baik dia berdiam diri dan membiarkan pihak yang berkenaan memberikan kenyataan,” katanya.
Chong turut menuntut jawapan mengenai beberapa persoalan penting, antaranya ialah apakah cadangan pengambilalihan syarikat penerbangan telah dibatalkan.
“Berapakah kos pengambilalihan dan kos tahunan untuk mengendalikan syarikat penerbangan tersebut? Apakah model perniagaan yang dicadangkan? Berapakah harga tiket yang akan ditawarkan oleh syarikat penerbangan milik kerajaan negeri kepada rakyat Sarawak?,” katanya.
Beliau menekankan bahawa semua rakyat Sarawak berhak untuk mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan ini dan kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya memberikan penjelasan yang sewajarnya.
“Jika kerajaan negeri boleh merancang untuk melaksanakan harga tiket penerbangan yang lebih murah dengan mensubsidi syarikat penerbangannya sendiri, apa yang menghalang kerajaan negeri daripada memberikan subsidi sekarang demi kebaikan rakyat Sarawak?
“Apabila ada kemahuan, pasti ada jalan. GPS jelas tidak mempunyai keazaman untuk melaksanakan harga tiket yang lebih rendah demi rakyat Sarawak,” kata Chong lagi.
Oleh NICKELYSON LAKUN