VALENCIA (Sepanyol), 8 November: Kylian Mbappe meneruskan ketajamannya dengan menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut ketika membantu Real Madrid menewaskan Valencia yang beraksi dengan 10 pemain, 3-0, sekali gus menyamai kutipan mata pendahulu La Liga, Barcelona, pada awal pagi ini.
Kemenangan di Stadium Mestalla itu menyaksikan skuad kendalian Jose Mourinho mencatat kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan, sekali gus terus memberikan tekanan kepada Barcelona dalam perebutan kejuaraan liga.
Barcelona selaku juara bertahan dijadualkan bertandang ke gelanggang Atletico Madrid yang menghuni tangga ketiga pada Ahad, dengan misi kembali melebarkan jurang mata di puncak liga.
Real Madrid mendominasi sebahagian besar permainan dengan Federico Valverde dan Arda Guler masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa pertama sebelum Mbappe melengkapkan kemenangan menerusi jaringan ketiga selepas rehat.

Mourinho menyifatkan prestasi semasa pasukannya sebagai petanda positif dalam usaha memburu kejayaan musim ini.
“Berdasarkan pengalaman saya, pasukan ini menunjukkan petanda yang baik,” katanya kepada pemberita.
Pengendali Real Madrid itu berkata, kekalahan terakhir pasukannya kepada Atletico Madrid pada 20 September lalu tidak menjejaskan keyakinan pemain, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kebangkitan mereka
“Kami tidak pernah berada dalam keadaan kelam-kabut. Kami kekal tenang dan memahami mengapa kami tewas dalam perlawanan tersebut.
“Saya sentiasa mahu semua orang mengekalkan keseimbangan ketika berada dalam situasi yang baik.
“Saya sering mengingatkan mereka bahawa kemenangan bersama pasukan seperti Real Madrid tidak sepatutnya menyebabkan kita terlalu teruja. Menang bersama Real Madrid perlu dianggap sebagai sesuatu yang biasa,” katanya.
Real Madrid turun tanpa khidmat pemain sayap Brazil, Vinicius Junior yang menjalani perlawanan terakhir daripada penggantungan empat perlawanan.
Bagaimanapun, ketiadaan pemain itu tidak menjejaskan prestasi Los Blancos yang terus memberikan tekanan kepada Barcelona selepas menewaskan seteru utama mereka dalam aksi El Clasico di Camp Nou pada 25 Oktober lalu.
Perlawanan di Mestalla dihentikan seketika pada minit kesembilan bagi membolehkan pemain dan penyokong memberikan penghormatan kepada penyerang Tenerife, Jesus de Miguel yang meninggal dunia pada Selasa lalu.
Valencia hampir membuka jaringan apabila Aaron Mayol merampas bola daripada Aurelien Tchouameni di kawasan berbahaya, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.
Tuan rumah kemudian menyangka mereka berjaya mendahului menerusi Guido Rodriguez, tetapi jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Real Madrid selepas itu mula menguasai permainan sebelum Valverde memecah kebuntuan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Gol tersebut terhasil selepas sepakan percuma Mbappe terkena benteng pertahanan Valencia sebelum bola melantun ke arah pemain tengah Uruguay itu.
Tidak lama kemudian, Guler menggandakan kelebihan Madrid selepas hantaran lintang Jude Bellingham terkena pemain lawan dan jatuh tepat ke laluannya.
Mbappe lengkapkan kemenangan

Memasuki separuh masa kedua, Real Madrid terus menggandakan tekanan bagi mencari jaringan tambahan.
Guler memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol ketiga, namun penjaga gol Valencia, Stole Dimitrievski pantas mendapatkan bola ketika pemain tengah itu cuba menggeleceknya
Beberapa minit kemudian, Dimitrievski sekali lagi menjadi penyelamat apabila menafikan percubaan Mbappe yang cuba melambungkan bola melepasi kepalanya selepas berjaya menembusi pertahanan tuan rumah.
Bellingham turut mempunyai peluang untuk menambah jaringan selepas merempuh benteng pertahanan Valencia, namun percubaannya berjaya disekat penjaga gol berkenaan.
Mbappe kemudian mencuba rembatan akrobatik susulan bola muntah, tetapi Dimitrievski sekali lagi memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Bagaimanapun, ketahanan pertahanan Valencia akhirnya ditembusi apabila Mbappe menyambut hantaran berbahaya Guler sebelum melepasi Dimitrievski dan menyudahkan peluang dari sudut sempit
Jaringan itu merupakan gol ke-13 Mbappe dalam saingan liga musim ini, selain gol ke-17 dalam 16 penampilan bagi semua pertandingan.

Penyerang Perancis itu turut mengekalkan rekod cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol dalam tujuh penampilan terakhirnya bersama Real Madrid.
Keadaan semakin buruk buat Valencia apabila kapten pasukan, Jose Gaya dilayangkan kad merah ketika perlawanan berbaki kira-kira 10 minit selepas melakukan terjahan lewat terhadap Mbappe.
Kekalahan itu menyaksikan pasukan kendalian Javier Aguirre kekal di tangga ke-19 liga, satu mata di belakang zon selamat.
Gaya mengakui Valencia berdepan tugas sukar menentang Real Madrid yang sedang berada pada tahap prestasi terbaik musim ini.
“Kami tahu perlawanan ini sukar kerana berdepan Real Madrid ketika mereka berada pada prestasi terbaik musim ini.
“Kami cuba bangkit pada separuh masa kedua dan mengubah sistem permainan, tetapi tetap gagal mendapatkan rentak,” katanya kepada DAZN
Dalam perlawanan lain, Espanyol yang kini dibimbing pengendali baharu, Eder Sarabia terikat tanpa jaringan ketika menerima kunjungan Deportivo La Coruna.
Osasuna pula meraih keputusan seri 1-1 menerusi jaringan lewat ketika menentang Athletic Bilbao, manakala Racing Santander bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Malaga 2-1.— AFP




