Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Suri rumah dijemput ke tanah suci selepas 16 tahun santuni asnaf
  • INSPIRASI

Suri rumah dijemput ke tanah suci selepas 16 tahun santuni asnaf

Utusan Sarawak 5 hours ago
JAMELIAH Abdul Manaf.

MAKKAH: Seorang suri rumah yang telah berbakti membantu golongan memerlukan selama 16 tahun tidak pernah menyangka pengorbanannya dalam menguruskan kebajikan asnaf membuka peluang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Jameliah Abdul Manaf, 66, seorang daripada 75 individu yang dipilih menerima tajaan penuh daripada Kerajaan Selangor, menyifatkan peluang menjadi tetamu Allah pada musim haji 1447H/2026M adalah rezeki yang amat bermakna buatnya.

Jameliah, yang menetap di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh berkata beliau tidak pernah mengharapkan sebarang balasan sepanjang terbabit dalam pelbagai urusan kebajikan masyarakat, termasuk membantu individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri mendapatkan bantuan zakat serta menyelesaikan masalah perumahan golongan yang memerlukan.

“Apabila dimaklumkan nama saya dicalonkan untuk menerima tajaan haji ini, saya pada mulanya menolak kerana merasakan ramai lagi yang lebih layak.

“Namun apabila dimaklumkan ia adalah perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya menerimanya sebagai rezeki dan jawapan kepada doa yang dipanjatkan selama ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini lebih 250 individu dan keluarga berjaya dibantu melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk zakat, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

JAMELIAH bergambar bersama jemaah lain.

Ibu empat anak dan nenek kepada sembilan cucu itu berkata beliau mula aktif membantu golongan asnaf sekitar 2010 dengan menguruskan pelbagai urusan kebajikan, termasuk permohonan bantuan zakat, dokumen pengenalan diri, perumahan serta masalah keluarga.

Jameliah berkata walaupun ketika itu beliau belum dilantik secara rasmi sebagai amil, beliau tetap menjalankan tugas berkenaan atas dasar tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap nasib penduduk setempat.

“Ramai yang datang meminta bantuan, ada yang tiada kad pengenalan, tiada sijil kelahiran, dihalau dari rumah sewa dan berdepan pelbagai masalah keluarga.

“Bila satu kes berjaya diselesaikan, orang lain pula datang meminta bantuan. Daripada situ kerja kebajikan ini berkembang dan saya teruskan sehingga sekarang,” katanya.

Jameliah kemudiannya menerima tauliah sebagai amil pada 2019 dan pernah diiktiraf sebagai Penolong Amil Kariah Terbaik selama dua tahun berturut-turut.

Beliau berkata antara pengalaman yang paling sukar dilupakan ialah membantu sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal sehingga terpaksa mencari perlindungan sementara.

“Kami berusaha mendapatkan bantuan dan berunding dengan pelbagai pihak supaya mereka ada tempat berteduh. Bila akhirnya mereka dapat rumah dan kehidupan yang lebih baik, perasaan itu sangat sukar digambarkan.

“Itulah kepuasan sebenar apabila melihat orang susah dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna,” katanya.

Jameliah berkata walaupun suaminya telah meninggal dunia tahun lepas, sokongan arwah sepanjang beliau aktif dalam kerja kemasyarakatan menjadi antara faktor utama yang membolehkannya terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya tidak pandai memandu kereta dan banyak urusan dibuat dengan bantuan suami serta rakan-rakan. Arwah suami sentiasa memberi izin dan galakan untuk saya membantu orang lain.

“Saya percaya doa orang yang dibantu dan izin suami menjadi antara asbab Allah membuka jalan untuk saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci,” katanya. – Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Anak muda asal Sebauh cekal bina nama dalam dunia fotografi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.