Uggah kembali pertahan Bukit Saban, teruskan agenda pembangunan GPS

Facebook
WhatsApp
UGGAH kembali pertahan Bukit Saban, teruskan agenda pembangunan GPS. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 25 November: Datuk Amar Douglas Uggah Embas sekali lagi diberi kepercayaan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).

Pencalonan semula beliau diumumkan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Uggah yang menyambut baik kepercayaan tersebut merakamkan penghargaan kepada Abang Johari atas keyakinan yang diberikan kepadanya untuk terus membawa mandat GPS di kawasan Bukit Saban.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban.

“Kepercayaan ini merupakan satu amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab dan komitmen demi kepentingan rakyat serta memastikan agenda pembangunan Sarawak dan Bukit Saban terus diperkasakan,” katanya.

Mengulas keutamaan pembangunan kawasan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh ekonomi masyarakat akan terus menjadi antara fokus utama, khususnya menerusi pemanfaatan kemudahan strategik dalam sektor pertanian dan aktiviti komersial.

“Saya mahu melihat kemudahan yang telah disediakan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, meningkatkan pendapatan serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada rakyat.

“Kita juga perlu meneroka potensi pertanian melalui penggunaan teknologi moden dan penglibatan golongan belia supaya sektor ini terus berkembang sebagai sumber ekonomi yang berdaya maju,” ujarnya.

Antara pemangkin utama kepada agenda berkenaan ialah pembangunan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CCPC) Bebuling serta Agropark Bebuling yang telah siap dibangunkan.

Ketiga-tiga kemudahan strategik itu menyediakan asas penting dalam memperkukuh kesalinghubungan, pengendalian hasil pertanian serta pembangunan sektor pertanian komersial di kawasan berkenaan.

Justeru, keutamaan seterusnya adalah memastikan kemudahan tersebut dimanfaatkan secara optimum agar mampu merancakkan aktiviti ekonomi, membuka peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Selain pembangunan ekonomi, Uggah turut memberi penekanan terhadap agenda pendidikan, pemerkasaan belia dan pembangunan modal insan bagi memastikan generasi muda Bukit Saban mempunyai peluang lebih luas untuk melanjutkan pendidikan serta meningkatkan kemahiran.

Langkah itu dilihat penting dalam melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menjadi penggerak kepada pembangunan kawasan berkenaan pada masa hadapan.

Dalam pengumuman sama, Abang Johari mengesahkan kesemua 82 calon GPS akan bertanding menggunakan satu logo tanpa mengira parti komponen yang diwakili, selain menampilkan 11 muka baharu sebagai sebahagian daripada usaha peremajaan gabungan itu.

Pencalonan semula Uggah sekali gus membawa kesinambungan kepimpinan GPS di Bukit Saban, dengan tumpuan bukan sahaja kepada meneruskan pembangunan infrastruktur, malah memastikan kemajuan ekonomi, pendidikan dan peluang masa depan rakyat terus diperkasakan.

Oleh Adi Safarman