LUBOK ANTU, 26 November: Sumbangan sebuah pam air berserta kelengkapan paip kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tebat di sini diharap dapat meningkatkan kemudahan serta keselesaan warga sekolah, sekali gus membantu melancarkan urusan harian pihak sekolah.
Sumbangan yang disampaikan oleh Dato Huang Huat Khai itu mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan institusi pendidikan, khususnya dalam memastikan kemudahan asas sekolah sentiasa berada pada tahap baik.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi rasa syukur dan penghargaan atas sumbangan berkenaan yang disifatkan mampu memberikan manfaat besar kepada warga SK Tebat.
“Setinggi-tinggi rasa syukur dan terima kasih kerana telah menyumbangkan sebuah pam air berserta kelengkapan paip kepada pihak SK Tebat, Lubok Antu.
“Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat, membantu memudahkan urusan pihak sekolah serta meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga sekolah.
“Kami percaya bahawa setiap sumbangan, walaupun kecil, mampu membawa perubahan yang besar kepada masyarakat,” kata kenyataan SK Tebat, hari ini.
Sementara itu, Huang Huat Khai berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu memenuhi keperluan sekolah serta memberikan manfaat secara langsung kepada warga pendidikan.
Beliau berharap kemudahan yang disumbangkan itu dapat digunakan sebaik-baiknya dan memberi manfaat berterusan kepada pihak sekolah.
Sumbangan seumpama itu membuktikan bahawa sokongan dan kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam membantu meningkatkan kemudahan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman




