Pemilik rumah di Taman Riverview disaran semak tempoh pajakan tanah

Facebook
WhatsApp
VIOLET Yong.

KUCHING, 26 November: Pemilik rumah di Taman Riverview, Bintawa, disaran menyemak tarikh tamat pajakan tanah dan mempertimbangkan pembaharuan lebih awal berikutan kebanyakan pajakan kediaman di kawasan itu hanya berbaki kira-kira 16 tahun.

Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Pending, Violet Yong berkata, semakan awal membolehkan pemilik merancang pembaharuan pajakan sebelum tempohnya hampir tamat.

Menurutnya, di bawah dasar pembaharuan pajakan tanah Sarawak, pemilik rumah teres setingkat dan dua tingkat, termasuk lot tengah dan lot tepi, boleh memohon pembaharuan selama 60 tahun dengan premium RM1,000 atau 99 tahun dengan premium RM1,300.

“Pemilik rumah boleh memohon pembaharuan pada bila-bila masa sebelum pajakan sedia ada tamat tempoh. Bagi kedua-dua pilihan tersebut, tempoh pajakan baharu akan dikira bermula dari tahun permohonan diluluskan, walaupun pajakan sedia ada masih mempunyai baki beberapa tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yong berkata, pembaharuan pajakan dapat melindungi kepentingan pemilik dalam jangka panjang dan membantu mengekalkan nilai jualan semula hartanah. Katanya, baki pajakan yang pendek boleh menyukarkan bakal pembeli mendapatkan pembiayaan bank.

“Saya menggalakkan pemilik rumah yang ingin memperbaharui pajakan tanah supaya menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan.

“Sila bawa salinan hak milik tanah supaya saya dapat membantu menyemak tarikh tamat pajakan, menerangkan pilihan pembaharuan yang tersedia serta membimbing mereka melalui proses permohonan,” kata calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending itu.

Oleh Connie Chieng