KANOWIT, 26 November: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih Alexander Donald sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Ngemah berbanding penyandang Anyi Jana membuka persaingan baharu yang turut menguji penerimaan calon, kekuatan parti dan sokongan akar umbi.
Alexander, 58, yang mempunyai pengalaman 33 tahun dalam sektor perbankan, kini diberi tanggungjawab membawa mandat GPS dengan menawarkan pendekatan pembangunan yang memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat luar bandar.
Antara agenda yang diketengahkannya ialah menaik taraf jalan raya, memperluas bekalan air terawat, meningkatkan liputan komunikasi dan internet serta memperkukuh sosioekonomi penduduk melalui pembangunan petani, usahawan dan golongan belia.
Pencalonan Alexander bagaimanapun hadir ketika PRS Bahagian Ngemah sebelum ini sebulat suara menyokong Anyi dikekalkan sebagai calon GPS menerusi resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan bahagian itu pada 6 Oktober lalu.
Keputusan kepimpinan GPS mengumumkan Alexander sebagai calon pada 25 November turut mencetuskan perbincangan di media sosial apabila beberapa netizen menyuarakan sokongan kepada Anyi dan mempersoalkan keputusan menggantikan penyandang berkenaan.
Hari ini, Anyi mengambil langkah keluar daripada PRS serta melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PRS Bahagian Ngemah dalam pertemuan bersama kira-kira 200 penyokong di kediamannya di Lorong Dabai, Kampung Muhibbah, Kanowit.
Beliau turut mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas mesra GPS dan mendakwa lebih 1,000 ahli daripada beberapa cawangan PRS akan meninggalkan parti itu, selain menegaskan sokongannya terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Walaupun tidak lagi mewakili GPS, rekod Anyi sebagai penyandang tetap menjadi sebahagian daripada landskap politik Ngemah selepas beliau memenangi kerusi itu pada PRN Sarawak 2021 dengan 3,193 undi dan majoriti 261 undi.
Bagi Alexander, cabarannya adalah memperkenalkan pendekatan kepimpinan sendiri serta mendapatkan keyakinan masyarakat, manakala Anyi perlu membuktikan sejauh mana sokongan yang pernah diterimanya mampu diteruskan apabila bertanding di luar parti.
Perkembangan ini menjadikan Ngemah menarik untuk diperhatikan kerana persaingan kali ini bukan sahaja melibatkan dua individu dengan latar belakang berbeza, tetapi turut memperlihatkan persoalan mengenai hubungan antara keputusan parti, aspirasi akar umbi dan kepercayaan pengundi.
Oleh Tarani Lanting




