BINTULU: Program sukaneka mampu menjadi medium berkesan membentuk keyakinan diri, semangat kerjasama dan nilai perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia awal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, aktiviti luar bilik darjah seperti sukaneka bukan sekadar menggalakkan gaya hidup aktif, malah membantu kanak-kanak mempelajari nilai keberanian, kerjasama dan saling menghormati menerusi pengalaman secara langsung.

“Sukaneka bukan sekadar memberi peluang kepada anak-anak berlari atau bermain bersama, tetapi mereka belajar bekerjasama, berani mencuba, berkongsi dengan rakan-rakan serta membina keyakinan diri sejak kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Generasi Cilik Perpaduan: Sukaneka Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu 2026 di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Menurutnya, pembentukan sahsiah dan nilai murni perlu bermula sejak usia awal menerusi kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat.

Beliau memberitahu, setiap kanak-kanak mempunyai potensi dan bakat tersendiri yang perlu dibimbing serta diberikan peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang positif.
Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), guru, ibu bapa serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan, selain mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian.





