SARATOK: Sukan tradisional terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat menerusi satu penganjuran Pertandingan Slingshot (Melastik), dan ia berlangsung dengan meriah.
Kira-kira seramai 76 peserta menyertai pertandingan itu yang berlangsung di Kampung Melango yang dianjurkan oleh Melango Slingshot Team (MST) Saratok.
Perasmian pertandingan itu disempurnakan Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi.
Dalam ucapannya beliau menyatakan usaha memartabatkan sukan tradisi sebagai aktiviti riadah yang beliau yakini mampu menyatukan masyarakat setempat.
“Sambutan hangat dan menggalakkan diterima daripada peserta serta penonton mencerminkan minat yang tinggi terhadap sukan melastik, yang bukan sahaja menguji ketepatan tetapi juga kemahiran serta kecekapan.
“Sukan berkenaan dilihat sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat di daerah ini termasuklah kanak-kanak.
“Saya melihat penganjuran pertandingan ini adalah sesuatu yang baik kerana bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, tetapi ia juga sukan yang tidak memerlukan kos tinggi,” katanya.
Kasdi berharap sukan ini dapat mengisi masa lapang belia di daerah ini, sekali gus menghindari diri mereka daripada gejala yang tidak sihat.
Ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar akan datang.
Mengenai pertandingan itu, ia telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu enam meter dan lapan meter dan setiap ketegori telah disertai seramai 38 orang peserta.
Bagi kategori lapan meter, Osman Mansur muncul sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100 beserta hamper, manakala naib johan Yunus Johari membawa pulang hadiah wang tunai RM70 dan hamper, dan tempat ketiga Nasel Ahmad membawa pulang RM50 dan hamper.
Bagi kategori enam meter pula, Nasel Ahmad muncul johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100 dan hamper, manakala Gadis Seman ditempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM70 serta hamper, dan tempat ketiga Osman Mansur membawa pulang RM50 dan hamper.
Sementara itu, Gadis Seman telah dinobat sebagai pemain terbaik dalam acara ‘Sharp shooter’ iaitu acara khas yang dianjurkan oleh pihak penganjur.
Oleh Adi Safarman