SIBU: Seramai 630 pelajar dari kawasan Parlimen Selangau yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerina bantuan pendidikan berjumlah RM597,000.
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, Tony Emat berkata, bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban pelajar dan keluarga, khususnya ketika mereka memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Katanya, perhatian terhadap pendidikan amat penting bagi memastikan lebih ramai anak Selangau mendapat peluang melanjutkan pengajian dan membina masa depan lebih baik.
“Lebih penting daripada bantuan itu sendiri ialah sokongan dan dorongan kepada anak-anak kita supaya mereka berani mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Edwin pada majlis makan malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekokah Kebangsaan (SK) Sungai Siong 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Tony berkata, kerjasama antara pihak sekolah, guru, ibu bapa, PIBG dan komuniti amat penting dalam menyediakan sokongan kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Berkongsi pengalamannya, Tony berkata, beliau sendiri merupakan bekas pelajar SK Sungai Siong dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi hasil dorongan guru, sokongan keluarga serta usaha berterusan.
“Saya berkongsi perkara ini bukan untuk menceritakan tentang diri saya, tetapi sebagai contoh bahawa anak-anak yang bermula dari sekolah seperti ini juga mampu pergi jauh sekiranya diberikan peluang, sokongan dan dorongan.
“Sebab itu, kita perlu terus memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak kita dan memastikan mereka berani memasang cita-cita yang tinggi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Tony melihat usaha Edwin dalam memberi perhatian terhadap pendidikan, khususnya membabitkan anak-anak di kawasan Parlimen P214 Selangau, sebagai sesuatu yang amat bermakna.
Beliau berharap lebih ramai anak Selangau akan melanjutkan pengajian, memperoleh ilmu dan kemahiran sebelum kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta pembangunan kawasan berkenaan.
Turut hadir wakil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Paul Teo, Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan, Guru Besar SK Sungai Siong, George Unggat, Yang Dipertua PIBG SK Sungai Siong, Tuai Rumah (Tr) Sijah Ejut serta yang lain.
Oleh Akun Giman





