KUCHING: Pameran Perdagangan Sarawak (STF) anjuran Persatuan Pengilang Sarawak (SMA) menyediakan landasan terbaik untuk mengukuhkan landskap perniagaan di Sarawak, menarik pelaburan dan menggalakkan kerjasama antara pemain industri.
SMA menerusi satu kenyataan memberitahu pameran itu akan menampilkan lebih 64 peserta dari daripada pelbagai sektor merangkumi sektor bahan binaan, makanan dan minuman, teknologi, pembuatan dan kewangan.
Selain itu, katanya, pameran itu akan dimeriahkan dengan penyertaan agensi persekutuan dan negeri yang akan mempamerkan sumber, perkhidmatan dan penyelesaian inovatif buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan di negeri ini.
Acara yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho, Batu Kawa itu dijadualkan berlangsung selama dua hari iaitu dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada 6 dan 7 Disember 2024 manakala dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada 8 Disember 2024.
”Acara ini disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi menyediakan platform untuk mengumpul pemain industri, inovator dan pemilik perniagaan terkemuka dari seluruh Malaysia.
”SMA melihat penganjuran acara ini adalah satu keperluan untuk meningkatkan pelaburan perniagaan Sarawak dan perhatian orang ramai selain bertanggungjawab sebagai ’jambatan’ yang menghubungkan pembuat dasar dan pemain industri.
”Kami percaya Pameran Perdagangan Sarawak akan memperkasakan perniagaan untuk merebut peluang baharu dan bertindak balas terhadap permintaan dinamik pasaran global hari ini,” kata SMA menerusi kenyataan itu.
Acara itu, katanya, akan dirasmikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 6 Disember 2024 manakala majlis penutupan dijangka diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada 8 Disember 2024.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai berkata, daerah Padawan merangkumi lebih 80,000 premis yang mana 91 peratus daripadanya adalah kediaman manakala sembilan peratus ialah premis komersial dan perindustrian.
“Dengan menyokong pameran perdagangan anjuran SMA di Batu Kawa ini, ia boleh meningkatkan dan mempromosikan Padawan menjadi pinggir bandar yang lebih berorientasikan industri dan perniagaan serta meningkatkan peluang pekerjaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, SMA mengalu-alukan lebih ramai ahli profesional dalam industri, pemilik perniagaan, usahawan dan orang ramai untuk menyertai Pameran Perdagangan Sarawak ini.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi halaman Facebook SMA atau hubungi Andy Tsai di talian 014-994 0625.