
SIBU: Spring Flower Festival anjuran Kelab Toastmasters Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjadi platform terbaik bagi para pelajar untuk mempelajari cabaran sebenar dan berinteraksi dengan masyarakat, khususnya komuniti kampus.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, berkata program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang Kelab Toastmasters, malah turut membantu membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi.
“Sebagai pelajar, mereka menunjukkan keberanian luar biasa dalam menyahut cabaran ini demi mengumpul dana untuk kelab serta menyokong rakan-rakan mereka.
“Daripada apa yang dimaklumkan, terdapat sebanyak 23 gerai dibuka dalam festival ini.
“Sebahagian disewakan kepada pihak luar, manakala selebihnya diuruskan oleh para pelajar sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan festival tersebut di kampus UTS, petang semalam.
Kaunselor Kevin turut berkongsi kenangan peribadinya yang pernah menjadi ahli Kelab Toastmasters ketika menuntut di Kolej Bersatu Sarawak (UCS), yang kini dikenali sebagai Kolej Laila Taib (KLT).
“Festival ini membawa banyak nostalgia. Ini kerana pertama kali saya datang ke kampus ini, dan kedua, saya sendiri pernah menjadi ahli Toastmasters ketika di UCS,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan harapan agar para pelajar terus berani menghadapi cabaran, serta membina keyakinan diri dalam berkomunikasi, yang amat penting apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan dan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Sean Wong, Presiden Kelab Toastmasters UTS Shirly Ting, serta Pengerusi Penganjur Marieanne Landi Gat.
Oleh Akun Giman