MIRI: Aksi tujuh kanak-kanak lelaki dan perempuan bergaduh di kawasan tanah lapang di Tudan Desaras Fasa 6, di sini, mengundang perhatian selepas rakaman kejadian berdurasi 44 saat tular di Facebook, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video yang memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 5.00 petang semalam, di kawasan tanah lapang di hadapan sebuah rumah di Tudan Desaras Fasa 6.
“Polis berjaya mengesan kesemua individu terbabit dan hasil siasatan mendapati seramai tujuh kanak-kanak berusia antara lapan hingga 13 tahun terlibat dalam kejadian itu.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan disiasat oleh Inspektor Rayhan Albert,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh bapa mangsa kira-kira 2.40 petang hari ini.
Katanya, kesemua kanak-kanak terbabit merupakan rakan dan sering bermain bersama.
“Pergaduhan dipercayai tercetus selepas seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa mengejek suspek dengan kata-kata kesat sehingga menyebabkan rakan-rakan lain tidak berpuas hati.
“Mangsa kemudian ditendang dan ditolak, namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.
Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menularkan isu sensitif di media sosial yang boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Miri di talian 085-433730.
Oleh Liong Chai Ling





