Operasi SAR hari kedua jejaki lelaki hilang di Bau

Facebook
WhatsApp
TAKLIMAT diadakan sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat Clement Chimiet Condos dimulakan di Kampung Fairy Lorong 5, Bau, hari ini.

BAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini bagi mengesan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang dari kebun milik keluarganya di Kampung Fairy Lorong 5, di sini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Clement Chimiet Condos dilaporkan hilang sejak 10.00 pagi, Rabu lalu, selepas pergi ke kebun keluarganya yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari rumah.

“Ahli keluarga mangsa telah berusaha mencari mangsa di kawasan sekitar, namun masih gagal ditemui. Pihak keluarga kemudiannya membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa,” menurut kenyataan JBPM Sarawak hari ini.

Operasi SAR hari kedua bermula pada 9.00 pagi dengan pasukan mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua seksyen bagi memperluas kawasan pencarian.

Seksyen C melibatkan kawasan sungai dan kaki bukit, dengan kekuatan empat anggota bomba, empat anggota polis dan tujuh orang awam, diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Shaifull Ismail Othman.

Sementara itu, Seksyen D menjalankan pencarian di kawasan bukit dengan kekuatan empat anggota bomba, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota polis dan tujuh orang awam, diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Kevin Kanaly.

Keseluruhan operasi membabitkan anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau bersama lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota APM serta 14 orang awam.