Lusiran Limbang 2026 semarak semangat kesukanan, martabat warisan etnik

Facebook
WhatsApp
PENYERTAAN DIBUKA... Lusirun Limbang 2026 kini dibuka untuk menyertaan.

LIMBANG: Buat julung kalinya, Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang-Miri (DSLM) bakal menganjurkan acara larian LusiRun Limbang 2026 pada 7 November ini.

Program yang dinaungi Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan, menggalakkan gaya hidup sihat serta mempromosikan industri pelancongan di Bahagian Limbang.

Penganjuran itu turut mencatatkan sejarah tersendiri bagi PAALS yang berpusat di Kuala Lumpur kerana menjadi program fizikal pertama persatuan berkenaan di tanah kelahiran ahlinya.

Selain memupuk silaturahim antara badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan, acara itu menjadi platform untuk memperkenalkan PAALS kepada anak-anak Limbang yang menetap di Semenanjung.

Usaha berkenaan sekali gus mengukuhkan peranan PAALS sebagai wadah kebajikan dan jalinan silaturahim anak-anak Limbang, tanpa mengira lokasi mereka berada.

Limbang LusiRun 2026 dianjurkan berlandaskan beberapa objektif utama, termasuk memperkenalkan PAALS dan DSLM kepada anak-anak Limbang yang berada di luar kawasan supaya mereka dapat menyertai keahlian kedua-dua pertubuhan itu dan memastikan kebajikan ahli berdaftar sentiasa terpelihara.

Acara berkenaan turut bertujuan mengeratkan kerjasama strategik antara badan kerajaan tempatan, NGO dan masyarakat setempat, selain menyemarakkan semangat kesukanan serta mempromosikan sektor pelancongan di Bahagian Limbang.

Menariknya, acara kali ini membawa tema Pakaian Tradisional Etnik Sarawak, dengan peserta digalakkan menampilkan keunikan budaya tempatan sepanjang larian.

Larian itu menawarkan tiga kategori, iaitu 21 kilometer (km) separuh maraton bagi kategori Terbuka, Lokal Limbang dan Lawas serta Veteran berusia 45 tahun ke atas dengan yuran RM120; 10km Terbuka bagi peserta berusia 16 tahun ke atas dengan yuran RM70; dan 3km Fun Run/Jalan Santai dengan yuran RM60.

Bagi kategori 21km, pemenang tempat pertama menerima RM1,500, tempat kedua RM1,000, tempat ketiga RM800, tempat keempat RM500 dan tempat kelima RM300.

Kategori 10km pula menawarkan hadiah RM800 bagi tempat pertama, RM500 tempat kedua, RM300 tempat ketiga, RM200 tempat keempat dan RM150 tempat kelima.

Peserta 3km Jalan Santai berpeluang memenangi hadiah istimewa bagi kategori Pakaian Tema Terbaik dan Semangat Kesukanan.

Selain itu, penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik, termasuk persembahan pentas oleh artis terkenal dan kumpulan kebudayaan tempatan.

Pendaftaran telah dibuka sejak 13 Julai lalu dan akan ditutup pada 30 September 2026.

Penganjur menjemput warga tempatan dan antarabangsa, peminat larian serta orang ramai untuk menyertai acara berkenaan dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi bagi tujuan pendaftaran.

Pihak penganjur menjemput seluruh warga tempatan dan luar negara, peminat larian, dan orang awam untuk mengimbas kod QR pada poster rasmi bagi urusan pendaftaran.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Facebook rasmi Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS) atau talian urus setia di 014-567 6515 (Admin Limbang LusiRun 2026 – PAALS).