JPJ Sarawak dekati rakyat, pegawai turun ke kediaman demi mudahkan urusan

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Sarawak telah hadir ke kediaman tiga pemilik kenderaan bagi melaksanakan urusan pengesahan cap jari untuk tujuan pertukaran hak milik kenderaan. Foto JPJ Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak terus memperlihatkan komitmen mendekati rakyat apabila menyediakan perkhidmatan pengesahan cap jari di kediaman bagi pemilik kenderaan yang tidak berupaya hadir ke kaunter atas faktor kesihatan.

Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, inisiatif berkenaan mencerminkan usaha jabatan memastikan keterbatasan fizikal atau keadaan kesihatan tidak menjadi penghalang kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

Semalam, Pegawai Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Sarawak, Mohamad Faizillah Bahro bersama Ahmad Syafiq Ahmad Tajiddin telah hadir ke kediaman tiga orang pemilik kenderaan bagi melaksanakan urusan pengesahan cap jari untuk tujuan pertukaran hak milik kenderaan.

Perkhidmatan tersebut diberikan susulan permohonan pemilik berdaftar yang tidak dapat hadir sendiri ke kaunter JPJ kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Langkah itu bukan sahaja membantu memudahkan urusan dokumentasi dan proses pertukaran hak milik kenderaan, malah memastikan golongan yang berdepan kekangan untuk bergerak tetap mendapat akses kepada perkhidmatan awam.

JPJ Sarawak berkata, kehadiran pegawai ke kediaman pemohon bukan sekadar menyelesaikan urusan rasmi, sebaliknya turut membawa mesej bahawa rakyat sentiasa dihargai, didengari dan diberikan perhatian ketika berdepan keadaan sukar.

Pendekatan sedemikian juga memperlihatkan usaha JPJ Sarawak untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan secara lebih mudah, mesra, berintegriti dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat.

JPJ Sarawak menegaskan pihaknya akan terus berusaha mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan prinsip bahawa perkhidmatan awam bukan sekadar memastikan sesuatu urusan selesai, tetapi hadir membantu ketika rakyat benar-benar memerlukannya.

Oleh Adi Safarman