Spencer Marcus Dana juara Bintang Regata Baram 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MARUDI: Spencer Marcus Dana muncul juara selepas menewaskan enam peserta lain pada pertandingan akhir Bintang Regata Baram 2026 yang berlangsung di Dataran Marudi, semalam.

Spencer memperoleh markah sebanyak 83.40 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penyertaan.

Naib juara pula disandang oleh Rapheal Gau John yang memperoleh 82.20 peratus, sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi oleh Wellyes Cheluday yang memperoleh 78.50 peratus. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Rapheal Gau John turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM500. Sementara itu, peserta lain masing-masing menerima hadiah saguhati bernilai RM500.

BARISAN pemenang Bintang Regata Baram 2026 merakam gambar kenangan selepas sesi penymapaian hadiah.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata objektif utama pertandingan itu adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu agar mereka dapat bergiat aktif dalam industri muzik di Sarawak dan Malaysia, selaras dengan usaha memperkasa industri kreatif negara menerusi penganjuran Regata Baram 2026.

Beliau berkata pertandingan seperti itu mampu menjadi titik permulaan kepada kemunculan generasi baharu artis tempatan yang berpotensi mewarnai industri hiburan bukan sahaja di Marudi dan Sarawak, malah hingga ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Selain itu, beliau berkata penganjuran pertandingan berkenaan turut menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, seni dan muzik merupakan bahasa sejagat yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan latar belakang.

Oleh Jiku Juguong