KUCHING: Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menyuarakan sokongan penuh peringatan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing mengenai kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menggaji pekerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Menurut jurucakap SOPPOA, ini merupakan Langkah yang wajar dan perlu dipatuhi semua pihak bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri ini.
“kita telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP)yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk pekerja di ladang dan kilang terutama pekerja asing.
SOPPOA juga menegaskan telah menjalankan kuarantin sendiri dan mengehadkan pergerakan masuk dan keluar dari ladang sejak Mac lalu.
“Kita akan tunggu sehingga kerajaan membuka sempadan untuk membenarkan pekerja asing bekerja di Sarawak dengan mengikuti prosedur pemeriksaan JPBNS yang betul dan mematuhi SOP serta menjalani kuarantin 14 hari sebelum dibenarkan memulakan kerja,” jelasnya lagi.
Ahli-ahli SOPPOA telah menerima SOP pencegahan Covid-19 bagi menjalankan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada JPBNS sejak Mac lalu.
“Kita amat prihatin dengan semua orang di negeri ini, jadi kita akan memastikan untuk mematuhi SOP agar wabak tidak merebak dalam kalangan pekerja kita serta mengganggu operasi perladangan.
SOPPOA telah memberi sumbangan berjumlah RM 500,000 pada September lepas kepada JPBNS untuk membantu dan bekerjasama memerangi penyebaran wabak itu.
“Memandangkan Covid-19 masih lagi menjadi ancaman, pihak SOPPOA akan terus berwaspada dan meneruskan pematuhan SOP pencegahan agar operasi di seluruh negeri dapat berjalan dengan baik,” ujarnya.
Disebabkan SOP daripada JPBNS, operasi kelapa sawit masih berjalan seperti biasa dan telah menjadi pendukung kepada sokongan kewangan untuk ribuan keluarga dan pekerja di negeri ini di mana pelbagai sektor lain yang kebanyakannya terjejas.
Oleh demikian, pihak SOPPOA ingin mengucapkan terima kasih kepada JPBNS kerana telah melaksanakan SOP yang diperlukan demi menjaga keselamatan negara selain membenarkan ladang kelapa sawit untuk terus beroperasi dalam menyediakan perkhidmatan makanan kepada negara.
Oleh ASYRAF HALIM