PUTRAJAYA: Bagi industri minyak sawit Malaysia, episod jerebu yang terbaharu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kaitan antara kebakaran serantau dengan bagaimana komoditi itu dilihat dari aspek alam sekitar.
Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (ASDA), Malaysia dan Indonesia mendominasikan pengeluaran minyak sawit global dengan unjuran gabungan pengeluaran sebanyak 66.7 juta tan pada tahun pasaran 2025/26, atau kira-kira 83 peratus daripada jumlah global.
Daripada jumlah itu, Indonesia dijangka mengeluarkan 47.5 juta tan minyak sawit, manakala Malaysia sebanyak 19.2 juta tan, dan ia bermakna kontroversi mengenai alam sekitar di rantau ini sudah pasti boleh mencetuskan perdebatan yang meluas mengenai minyak sawit.
Bagaimanapun, tiada bukti yang menunjukkan kaitan langsung ekonomi antara keadaan jerebu yang berlaku ketika ini dengan penurunan permintaan atau harga minyak sawit yang lebih rendah.
Kebimbangan yang lebih mendesak mungkin perlunya pemeriksaan rapi berikutan kebakaran berulang, terutamanya daripada pembeli, pengguna dan pihak berkepentingan lain yang mengutamakan aspek kelestarian dan pengeluaran yang bertanggungjawab.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata minyak sawit kekal sebagai komoditi utama bagi Malaysia sambil menyifatkannya sebagai ‘DNA sektor pertanian Malaysia’ kerana sumbangannya kepada pekerjaan, pendapatan dan sebagai mata pencarian rakyat.
Beliau berkata episod jerebu yang berulang boleh membangkitkan semula penelitian mengenai rekod kelestarian dan alam sekitar dalam industri itu, termasuk perdebatan sejak sekian lama mengenai kepentingan makanan berbanding bahan api.
Pada masa sama, Sathia tidak melihat kaitan secara langsung antara jerebu dengan kos yang lebih tinggi bagi menjalankan perniagaan bagi pengeksport minyak sawit Malaysia.
“Sudah pasti akan timbul lebih banyak persoalan dan penelitian mengenai komoditi ini,” katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa syarikat dengan pensijilan kemampanan boleh menggunakannya untuk membuktikan komitmen mereka terhadap alam sekitar.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa masih tidak jelas sama ada kebakaran hutan itu berkaitan dengan kelapa sawit atau aktiviti-aktiviti lain.
Persoalan itu telah menjadi sangat relevan dengan kembalinya episod jerebu.
Dalam pada itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini tidak boleh dikaitkan terutamanya dengan penanaman kelapa sawit kerana pemetaan satelit menunjukkan titik panas merentasi pelbagai penggunaan tanah, termasuk kawasan terbiar, perladangan kayu pulpa dan plot pertanian berskala kecil.
Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Mohd turut menekankan bahawa titik panas yang dirakamkan oleh satelit adalah petunjuk kemungkinan berlakunya kebakaran, dan bukannya bukti pembakaran terbuka atau puncanya.
Bagi industri, ia memberi lebih penekanan kepada keupayaan untuk menunjukkan lokasi minyak sawit dihasilkan, bagaimana ia dihasilkan dan sama ada rantaian bekalan itu boleh disahkan secara bebas.
Persoalan Kebolehkesanan
Badrul Hisham berkata industri kelapa sawit di Malaysia beroperasi di bawah rangka kerja kawal selia dan kemampanan yang komprehensif, yang dikuatkuasakan oleh data institusi yang boleh disahkan dan bukannya janji korporat sukarela.
Ini termasuk keperluan pembakaran sifar mandatori dan standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0.
Tambahan pula, penerapan komitmen ‘Tiada Penebangan Hutan, Tiada Tanah Gambut dan Tiada Eksploitasi’ di seluruh negara telah membendung penebangan hutan dengan ketara dalam rantaian bekalan industri kelapa sawit Malaysia.
MSPO 2.0 pula, katanya, terpakai bagi semua penanam, termasuk pekebun kecil, dan menetapkan tarikh akhir penukaran hutan pada 31 Disember 2019, selain merangkumi keperluan larangan pembakaran terbuka, pengurusan tanah gambut, biodiversiti dan pelepasan gas rumah hijau.
Beliau berkata pengawal selia industri turut memperkenalkan platform geospatial GeoSAWIT dan Sistem Pengurusan Pintar Sawit, yang menggabungkan pemantauan transaksi rantaian bekalan dengan lokasi geografi digital kawasan penanaman kelapa sawit.
Selain hanya menyediakan bukti, sistem pemantauan termaju itu membolehkan MPOB mengesahkan secara muktamad bahawa ladang berlesen beroperasi mengikut protokol yang ketat dan bebas daripada pembakaran.
Dalam pada itu, ia turut menunjukkan bahawa risiko pembakaran bermusim sering kali tertumpu terutamanya pada tanah yang tidak diurus dan terbiar, yang terletak sepenuhnya di luar bidang kuasa kawal selia industri kelapa sawit.
“Sistem seperti itu membolehkan industri mengemukakan bukti mengenai lokasi kelapa sawit ditanam dan bagaimana rantaian bekalannya diuruskan.
“Bukti itu akan menjadi semakin penting apabila kejadian alam sekitar di peringkat serantau mencetuskan persoalan yang meluas mengenai minyak sawit,” katanya.
Sementara itu, Sathia berkata minyak sawit akan terus berdepan dengan persaingan daripada minyak kacang soya dan minyak sayuran lain, tetapi kekal sebagai minyak sayuran dengan harga paling kompetitif.
Beliau berkata persepsi negatif terhadap minyak sawit yang dianggap sebagai ‘bermasalah’ dalam pasaran pertanian telah berkurangan hasil kempen pendidikan dan kesedaran yang dilaksanakan selama beberapa tahun oleh pelbagai agensi seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia, di samping MPOB sendiri.
Malah, katanya, minyak sawit terus menembusi pasaran baharu walaupun terdapat kekangan perdagangan dan keperluan pematuhan, sekali gus menunjukkan bahawa penekanan terhadap aspek alam sekitar, setakat ini tidak menghalang pertumbuhan sektor itu.
Prestasi komersial semasa industri tersebut juga tidak menunjukkan kesan serta-merta akibat jerebu.
Sebagai makluman, eksport minyak sawit meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun kepada 7.68 juta tan pada separuh pertama 2026, manakala pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat 0.6 peratus kepada 9.02 juta tan.
Purata harga MSM kekal melebihi RM4,300 setan, manakala stok minyak sawit berada pada paras 2.54 juta tan pada akhir Jun, berbanding 2.03 juta tan setahun sebelumnya.
Semua angka tersebut menunjukkan permintaan yang berterusan terhadap minyak sawit Malaysia, walaupun kebimbangan mengenai alam sekitar masih wujud.
Namun, jerebu bukanlah satu-satunya isu berkaitan iklim yang dihadapi oleh industri tersebut.
Kesan Kos Jangka Panjang Perubahan Cuaca
Bagi ratusan ribuan pekebun kecil dan pekerja ladang yang mata pencarian mereka bergantung kepada tanaman tersebut, perubahan cuaca yang ekstrem itu mewujudkan keadaan ‘risiko berganda’.
Badrul Hisham menerangkan bahawa ketika di satu pihak, iaitu industri berdepan kerosakan reputasi serta-merta dan ketidakadilan akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran di luar negara.
Namun, di pihak yang lain pula, keadaan cuaca panas terik itu mengancam hasil tuaian mereka pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan bahawa kemarau dan haba melampau boleh mengurangkan kadar fotosintesis serta mengganggu perkembangan reproduktif pokok kelapa sawit, sekali gus menjejaskan pembentukan tandan dan buah.
Bagaimanapun, kesannya tidak semestinya berlaku serta-merta.
Ini kerana, kelapa sawit mempunyai tempoh kitaran pembiakan yang panjang, jadi kemarau yang teruk boleh mengakibatkan penurunan pengeluaran tandan buah segar (FFB) beberapa bulan kemudian, dengan kesan terhadap pengeluaran berpotensi berlarutan sehingga dua tahun.
Oleh itu, ini bermakna angka pengeluaran yang agak kukuh pada separuh pertama 2026 tidak semestinya menghapuskan risiko yang timbul akibat keadaan cuaca semasa.
Menurut data MPOB, purata hasil FFB susut 1.4 peratus kepada 7.72 tan sehektar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, terutamanya disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah di Semenanjung Malaysia dan perubahan pada profil umur kawasan tanaman kelapa sawit.
Hasil yang lebih baik di Sabah dan Sarawak serta kadar pengekstrakan minyak negara yang lebih tinggi pada tahap 20.08 peratus telah membantu mengimbangi penurunan tersebut dan menyokong peningkatan kecil dalam pengeluaran MSM.
Sementara itu, MPOB menjangkakan pengeluaran akan meningkat secara bermusim pada separuh kedua tahun ini, walaupun jumlah pengeluaran diunjurkan lebih rendah antara 4.7 hingga 7.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, sebahagiannya disebabkan oleh pelarasan hasil biologi susulan pengeluaran yang tinggi pada 2025.
Bagi keseluruhan tahun, pengeluaran MSM diunjurkan antara 19.50 juta hingga 19.80 juta tan, berbanding 20.28 juta tan pada 2025.
“Ketika ini, tiada petunjuk yang mewajarkan semakan semula terhadap unjuran tersebut, manakala prospek keseluruhan industri kekal positif dan paras stok akhir tahun dijangka berada pada sekitar 2.5 juta tan.
“Permintaan dijangka kekal kukuh, disokong oleh program biodiesel B50 Indonesia dan program B15 Malaysia, walaupun pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan, harga minyak mentah yang lebih rendah dan persaingan daripada minyak sayuran lain, serta perubahan dasar di negara pengimport utama kekal sebagai faktor ketidaktentuan (yang boleh mempengaruhi permintaan),” kata Badrul Hisham.
Di Sebalik Asap
Di saat ini, jerebu telah meletakkan industri minyak sawit dalam situasi kebiasaannya.
Isu tersebut melibatkan dua aspek, iaitu sama ada kejadian kebakaran tertentu boleh dikaitkan dengan penanaman kelapa sawit, dan bagaimana insiden alam sekitar yang berulang boleh mempengaruhi persepsi terhadap komoditi tersebut.
Namun, bukti sedia ada tidak menunjukkan bahawa jerebu semasa telah memberi kesan komersial secara langsung terhadap permintaan atau harga minyak sawit Malaysia.
Bagaimanapun, penelitian terhadap aspek alam sekitar tidak mungkin akan hilang begitu sahaja.
Bagi industri yang telah bertahun-tahun menyuarakan kebimbangan terhadap penebangan hutan, penggunaan tanah dan kelestarian, kemampuan untuk mengemukakan maklumat yang boleh disahkan mengenai ‘di mana’ dan bagaimana minyak sawit dihasilkan akan terus menjadi perkara penting.
Kebakaran hutan serantau mungkin melibatkan pelbagai jenis tanah dan punca yang berbeza serta data titik panas daripada satelit semata-mata tidak boleh menentukan pihak yang memulakan kebakaran mahupun jenis penggunaan tanah yang terlibat.
Oleh itu, bagi industri minyak sawit, tugasnya bukan sahaja untuk menjelaskan apa yang dipaparkan data titik panas, malah turut mengemukakan bukti mengenai rantaian bekalan mereka sendiri.
Perkara itu mungkin menjadi yang paling penting apabila keadaan kembali tenang dan persoalan mengenainya mula timbul. – Bernama




