Sokongan kepada GPS penting demi kesinambungan pembangunan

Facebook
WhatsApp
DATUK Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Persada Majma di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 29 Oktober: Kesinambungan pembangunan di kawasan Petra Jaya memerlukan sokongan berterusan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan pelbagai perancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan yang dirancang kerajaan Sarawak bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan semasa, malah memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai itu, pelaksanaan projek pembangunan merangkumi penempatan baharu Darul Hana, sistem pengangkutan baharu Kuching melalui Laluan Hijau serta pembinaan kampus baharu Kolej Universiti I-CATS di sini.

Katanya, ketiga-tiga projek berkenaan mempunyai kepentingan tersendiri dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk, memudahkan pergerakan masyarakat dan membuka peluang pendidikan kepada generasi muda.

“Untuk memastikan semua perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik, ia memerlukan sokongan padu, terutama daripada rakyat Sarawak secara keseluruhan.

“Semua yang sedang dilaksanakan ini adalah untuk manfaat, kebaikan serta keselesaan masyarakat dan anak cucu kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kepentingan sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Abdul Rahman berkata, usaha pembangunan yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi GPS memberi tumpuan kepada pembangunan jangka panjang, termasuk di kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak supaya memberikan sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata, gerak kerja mendekati masyarakat di kawasan DUN Pantai Damai dilaksanakan secara berterusan sejak PRN 2021, menerusi pelbagai aktiviti parti, kebajikan, pendidikan serta program kerohanian dan keagamaan.

Katanya, usaha berkenaan bukan hanya tertumpu kepada musim pilihan raya, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pendekatan berterusan untuk mendekati dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Mengenai kedudukannya sebagai calon pada PRN akan datang, beliau berkata keputusan berhubung calon yang bakal bertanding bagi kerusi DUN Pantai Damai diserahkan kepada Premier Sarawak selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Kita akur kepada keputusan yang akan dibuat oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak selaku Presiden parti,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat