Mana semangat setiakawan? GPS sanggup berkorban demi negara, jangan pula Sarawak dipecahkan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, hari ini.

KUCHING, 22 November: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempersoalkan semangat setiakawan dalam kalangan parti politik yang berhasrat mencabar rakan kerjasama di Sarawak, sedangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sendiri sanggup bekerjasama dengan parti yang pernah menjadi lawan demi menjamin kestabilan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, GPS telah membuktikan komitmennya terhadap kestabilan politik negara dengan kesediaan bekerjasama dengan parti-parti yang mempunyai perbezaan pendirian politik, termasuk DAP, demi kepentingan Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan ditubuhkan dengan GPS. Dalamnya berteraskan semangat setiakawan. Kita sanggup bekerjasama dengan parti yang dianggap sebagai lawan demi mentadbir Malaysia.

“Sarawak kuat, Malaysia kuat. Sarawak maju, Malaysia maju. Tetapi kenapa rakan setia hendak dilawan?” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa kestabilan politik Sarawak juga perlu dipelihara dan tidak seharusnya digugat atas alasan demokrasi atau persaingan politik.

Menurutnya, demokrasi sememangnya memberi ruang kepada mana-mana parti untuk bertanding, namun setiap tindakan perlu mengambil kira kesannya terhadap kestabilan negeri.

“Negeri sudah stabil, jangan kacau kestabilan yang ada di negeri Sarawak. Demokrasi memang, kamu boleh bertanding. Tetapi sebelum bertanding, kira-kira dahulu.

“Kalau hendak melawan, kita sedia berlawan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kestabilan politik bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan dengan mengimbas kembali perpecahan politik Sarawak pada 1987 yang meninggalkan kesan terhadap landskap politik negeri.

Katanya, GPS mahu meneruskan pendekatan rundingan dan penyatuan bagi memastikan semua kaum serta kumpulan masyarakat terus bersatu dalam menjayakan agenda pembangunan Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat