BINTULU: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samalaju dengan kos bernilai RM57.6 juta bakal menjadi sekolah menengah termoden di Sarawak, dijangka siap, awal tahun depan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datu Majang Renggi berkata, sekolah itu akan dilengkapi dengan 36 bilik darjah, 24 unit rumah guru dan sebuah bangunan pentadbiran.
Katanya, dengan adanya kemudahan infrastruktur moden dan akses jaringan jalan raya yang baik, SMK Samalaju dijangka akan menarik lebih ramai pelajar harian.
“Namun, bagi pelajar yang tinggal jauh dari sekolah, dua blok asrama yang mampu menampung 450 pelajar juga disediakan.
“Ini sekali gus dapat mengurangkan kepadatan di sekolah-sekolah lain di Bahagian Bintulu,” katanya selepas lawatan kerja ke tapak projek SMK Samalaju di Batu 31 di sini, petang semalam.
Selain kemudahan asrama, SMK Samalaju turut dilengkapi dengan surau, dewan makan, dewan serbaguna, padang bola sepak, dan lain-lain kemudahan asas.
Beliau memberitahu, projek itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, terutama kepada anak-anak di sepanjang jajaran laluan Pan Borneo, Jalan Bintulu-Miri, Jalan Bintulu-Bakun, Jalan Pesisir Bintulu-Nyalau, Taman Perindustrian Samalaju, dan sektor perladangan kelapa sawit.
“Saya berharap agar pihak kontraktor dapat menyiapkan projek tersebut menjelang awal Februari 2025 dan menerima pelajar pertama pada suku kedua tahun yang sama.
“Oleh itu, kerjasama erat antara kontraktor, agensi kerajaan, dan komuniti setempat diharapkan dapat memastikan kelancaran proses akhir pembinaan SMK Samalaju,” ujar Majang.
Oleh Carolyne Utih