KOTA BAHRU: Kuching City FC gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain apabila sekadar terikat 0-0 dengan Kelantan City FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Kelantan City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Nazri dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama susulan kekasaran terhadap pemain Kuching City, Ramadhan Saifullah.
Bagaimanapun, Kuching City gagal memecahkan benteng tuan rumah meskipun mempunyai kelebihan pemain sepanjang sebahagian besar babak kedua.
Kelantan City terlebih dahulu tampil lebih menguasai permainan pada separuh masa pertama dan beberapa kali menguji gawang Kuching City yang dikawal Haziq Nadzli.
Pada minit ke-33, Aziz Doumbia melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang tepat ke arah gawang, namun berjaya diselamatkan Haziq.
Haziq sekali lagi menjadi penyelamat Kuching City apabila menggagalkan satu lagi percubaan tepat Kelantan City, sekali gus memastikan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Kuching City melakukan perubahan pada awal babak kedua dengan memasukkan Jerome Etame bagi menambah kekuatan di bahagian serangan.
Kelebihan pemain bagaimanapun gagal dimanfaatkan Kuching City apabila serangan mereka masih buntu menembusi pertahanan Kelantan City.
Memasuki minit ke-79, kedua-dua pasukan kembali beraksi dengan 10 pemain selepas Etame dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap pemain Kelantan City.
Kuching City kemudian melakukan beberapa pertukaran pemain dengan Ronald Ngah Wanja dan Gabriel antara pemain yang dibawa masuk bagi menambah ancaman di kawasan serangan.
Pada minit ke-82, Kuching City hampir memecah kebuntuan menerusi tandukan yang menghala tepat ke gawang, namun peluang itu gagal diterjemahkan menjadi jaringan.
Dua minit kemudian, Yuki Tanigawa pula melepaskan rembatan kencang yang tepat ke arah gawang, tetapi penjaga gol Kelantan City berjaya menafikannya.
Keputusan 0-0 itu menyaksikan kedudukan agregat turut kekal 0-0 selepas aksi pertama, sekali gus menjadikan perebutan slot ke separuh akhir masih terbuka buat kedua-dua pasukan.
Kuching City akan menjadi tuan rumah pada aksi suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini di Stadium Taha Ariffin di Kuching.
Pemenang selepas aksi timbal balik itu akan mara ke separuh akhir Piala FA Malaysia.
Oleh Afiq Sallehi



