
MIRI: Pertandingan Robotik Antarabangsa Borneo 2025 yang bermula hari ini hingga 10 Mei di Miri diyakini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri, Lai Jia Ling, dalam satu kenyataan media hari ini, menyatakan keyakinannya bahawa pihak sekolah bersedia sepenuhnya mengendalikan penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
Tegasnya, SMK Chung Hua Miri sentiasa komited dalam usaha meneroka potensi pelajar, merangsang kreativiti serta melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Sebagai sekolah dengan bilangan kelas aliran sains tertinggi di Miri, kami sentiasa menggalakkan pelajar untuk menghasilkan idea-idea inovatif dan penyelesaian kreatif.
“Kami turut menyediakan ruang serta kebebasan untuk mereka meneroka minat dan membangunkan bakat masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat, termasuk penggunaan robot penyapu pintar dan kamera keselamatan pintar di kediaman, robot pendidikan pintar dalam sektor pendidikan serta aplikasi AI dalam bidang sukan bagi meningkatkan prestasi atlet dan menyokong sistem pengadilan yang lebih adil.
Sehubungan itu, katanya lagi, penyertaan dalam pertandingan ini akan memberi pendedahan yang amat berharga kepada pelajar mengenai perkembangan teknologi global, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi masa depan yang dipacu oleh AI dan inovasi robotik.
Oleh Adum Liu