SEJINGKAT: Kerajaan menyasarkan untuk melatih 50,000 penjaga profesional dan berkemahiran menjelang 2030 dengan membuka peluang latihan kepada individu di luar institusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri, berkata seramai 400 pelatih mengikuti latihan pada 2024 sebelum meningkat kepada 485 orang pada 2025, manakala 2,000 pelatih disasarkan mengikuti latihan tahun ini.
“Pada tahun ini kita sasarkan 2,000 penjaga yang akan dilatih dan sekarang memang dalam proses. Kita menjangka akan mencapai 2,000 itu pada November ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat, di sini, hari ini.
Nancy berkata, latihan berkenaan pada peringkat awal diberikan kepada mereka yang bekerja di bawah institusi KPWKM sebelum peluang itu diperluas kepada orang luar, termasuk lepasan sekolah.
Katanya, latihan itu turut dibuka melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala KPWKM bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta pihak swasta bagi menambah baik modul latihan.
“Kalau nak dapat 50,000, kementerian kami tidak cukup ramai. Sebab itu kita memang membuka peluang untuk orang luar,” katanya.

Beliau berkata, latihan penjagaan merangkumi aspek fizikal dan teori bagi memastikan peserta mempunyai kemahiran mengurus individu yang memerlukan penjagaan, termasuk memahami perkara berkaitan paras darah dan gula.
Nancy berkata, tenaga penjaga berkemahiran bukan sahaja diperlukan dalam negara, malah mempunyai peluang untuk bekerja di luar negara dengan kemahiran yang diperoleh.
Katanya, usaha itu turut berkait dengan Rang Undang-Undang Pekerja Sosial yang telah diluluskan bagi memperkukuh pengiktirafan terhadap bidang penjagaan dan tenaga kerja berkemahiran.
Dalam pada itu, Nancy berkata TVET bukan pilihan kedua, sebaliknya laluan penting dalam melahirkan tenaga mahir termasuk jurutera, teknologis, pereka cipta, usahawan dan inovator.
Pada majlis sama, beliau meluluskan dana aktiviti berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMT Sejingkat bagi menyokong aktiviti persatuan berkenaan.
Beliau berkata, peluang pendidikan dan latihan teknikal perlu dimanfaatkan pelajar untuk memperkukuh ilmu serta kemahiran sebagai persediaan melanjutkan pengajian dan membina kerjaya pada masa hadapan.
Oleh Shikin Mahmud





