Pelajar SMT Sejingkat bakal perkasa kemahiran sains data dan AI

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri bersama tetamu kehormat pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SMT Sejingkat di Dewan Integrasi SMT Sejingkat, hari ini.

SEJINGKAT: Pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat bakal mendapat pendedahan lebih luas dalam bidang sains data dan kecerdasan buatan (AI) menerusi program mikro-kredensial yang akan dilaksanakan di sekolah berkenaan.

Pengetua SMT Sejingkat, Chan Pek Ling, berkata inisiatif berkenaan antara usaha sekolah memperluas penguasaan teknologi digital dalam kalangan pelajar seiring perkembangan keperluan semasa.

Katanya, pendedahan terhadap AI turut dilaksanakan menerusi inisiatif Kelas Pembelajaran Berteraskan Kecerdasan Buatan dan konsep Satu Murid, Satu Peranti bagi membantu pelajar menggunakan teknologi dalam proses pembelajaran.

“Kira-kira 95 peratus pelajar Tingkatan Empat kini memiliki Chromebook yang telah diperbaharui, manakala usaha memperluas capaian internet di bilik darjah dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

PELAJAR SMT Sejingkat berarak ke pentas pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 di Dewan Integrasi SMT Sejingkat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SMT Sejingkat yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, di sini, hari ini.

Chan berkata program mikro-kredensial yang bakal diperkenalkan itu turut merangkumi bidang sains data dan AI, termasuk modul melalui kerjasama dengan Cisco.

Menurutnya, kerjasama berkenaan memberi peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan tambahan yang boleh dimanfaatkan dalam laluan pendidikan mereka.

“Ini menjadi kelebihan kepada pelajar SMT Sejingkat kerana terdapat institusi pengajian tinggi yang bekerjasama dengan Cisco dan pemindahan kredit boleh dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Chan berkata sekolah berkenaan turut menawarkan bidang kejuruteraan awam, elektrik, mekanikal dan pendawaian sebagai sebahagian daripada pendidikan teknikal yang disediakan kepada pelajar.

PELAJAR SMT Sejingkat mengikuti Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 di Dewan Integrasi SMT Sejingkat, hari ini.

Beliau turut mengingatkan pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya menggunakan tempoh kira-kira 32 hari sebelum peperiksaan untuk terus berusaha dan membuat persediaan.

Katanya, kecemerlangan pelajar bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut melibatkan pembentukan jati diri, nilai kemanusiaan dan kesediaan menyumbang kepada masyarakat.

Beliau berkata sokongan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni serta masyarakat juga penting bagi membantu pelajar mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan pembangunan diri.

Oleh Shikin Mahmud