BETONG: Syarikat-syarikat di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) wajar diberikan lesen untuk menyalur perkhidmatan telekomunikasi kepada penduduk di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia perlu bagi mengatasi masalah jaringan perkhidmatan telekomunikasi dalam kalangan penduduk terutama sekali mereka yang tinggal di luar bandar.
“Masalah ini amat dirasai oleh penduduk luar bandar apabila terdapat syarikat pembekal telekomunikasi yang enggan menyediakan perkhidmatan di kawasan mereka atas sebab faktor keuntungan.
“Atas sebab itulah saya merasakan perlunya syarikat di bawah SMA diberi lesen agar mereka dapat membekal perkhidmatan telekomunikasi untuk penduduk di kawasan yang enggan dimasuki oleh lain-lain syarikat,” katanya semasa merasmikan Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi SMART 300 di Ludan Ulu di sini semalam.
Selain itu beliau memberitahu pembinaan menara dan penyediaan khidmat telekomunkasi di sini wajar sejajar dengan pemilihan Betong sebagai salah satu lokasi bakul makanan di negeri ini.
Katanya pemilihan Betong bagi tujuan itu secara tidak langsung menuntut kepada peningkatan aktivit pertanian moden yang turut melibatkan teknologi ‘Internet Of Things’ atau IoT.
“Lagi pun pada waktu kini sudah ramai penduduk memiliki gajet moden seperti telefon pintar dan komputer riba sehingga menyebabkan kerajaan tiada pilihan lain iaitu terpaksa meningkatkan jaringan capaian internet di kawasan ini,” kata Abang Johari.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Betong, Robert Lawson Chuat, Ahli Dewan Undangan negeri Layar, Gerald Rentap Jabu, Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak, Tan Sri Dato Sri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki dan Residen Betong, Friday Belik.
Lebih 200 menara telekomunikasi telah siap dibina oleh SMA di bawah inisiatif SMA 300 di seluruh negeri ini pada masa sekarang.
Di Bahagian Betong, SMA selesai membina 31 menara telekomunikasi dengan enam lagi menara masih dalam proses pembinaan.