SARATOK: Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang 1.8 meter yang ditemui di atas siling luar sebuah rumah di Berek Jalan Wawasan, malam tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.10 malam berhubung kewujudan seekor ular yang dilihat berada di atas siling luar rumah, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada penghuni kediaman berkenaan.
“Susulan laporan yang diterima, tiga anggota Skuad Charlie telah digerakkan ke lokasi pada 10.12 malam dan tiba lima minit kemudian bagi menjalankan operasi menangkap reptilia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, setibanya di lokasi, anggota bertugas terlebih dahulu mendapatkan maklumat daripada pengadu mengenai kedudukan ular sebelum menjalankan operasi.
Ketua skuad turut memastikan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap bagi menjamin keselamatan sepanjang operasi.

“Melalui kaedah menyepit yang digunakan, ular sawa batik sepanjang kira-kira enam kaki itu berjaya ditangkap dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini,” ujarnya.
Operasi berkenaan melibatkan tiga anggota iaitu Prebet Zainal Zamran, Prebet Hajijah Ahim dan Prebet Alvin Gadut, dengan bantuan pelbagai peralatan termasuk penyepit khas, lampu suluh, sarung tangan keselamatan dan kotak tangkapan haiwan.
Sebelum meninggalkan lokasi, anggota APM turut menasihati penghuni rumah agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan kehadiran haiwan berbisa atau liar.
“Keadaan di lokasi adalah selamat dan terkawal selepas operasi selesai dijalankan,” tambah Leftenan Nur Athirah.
APM Saratok sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya menemui haiwan liar yang boleh mengancam keselamatan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Oleh Adi Safarman





