SPAOH: Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila menyedari kehadiran seekor ular di celah tingkap bilik mandi rumahnya di Kampung Hulu Spaoh, semalam.
Kejadian kira-kira 8.30 malam, mengejutkan wanita berkenaan yang segera mendapatkan bantuan kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada pengadu pada 8.37 malam.
Menurut Ketua Skuad Charlie APM Spaoh, Sarjan Kamarrul Badarudin, pengadu memaklumkan terdapat seekor ular di tingkap bilik mandi rumahnya dan memerlukan bantuan untuk menangkap reptilia berkenaan.
“Susulan panggilan itu, Skuad Charlie digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi Kes Menangkap Ular (KMU) dengan kekuatan tiga anggota,” katanya.
Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati seekor ular lidi sepanjang kira-kira 0.6 meter berada di celah tingkap bilik mandi.
Dengan berhati-hati, anggota menggunakan teknik menyepit sebelum berjaya menangkap ular berkenaan tanpa sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingini.
Ular tersebut kemudiannya dibawa ke lokasi yang selamat untuk dilepaskan jauh dari kawasan penempatan penduduk.
Operasi berakhir pada 8.58 malam.
APM Spaoh menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan liar atau berbisa di sekitar kediaman.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap sendiri haiwan berkenaan, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa atau APM bagi memastikan keselamatan terjamin.
Sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman




