BINTULU: Sejarah pembentukan Malaysia perlu terus dihayati oleh generasi baharu bagi memastikan pengorbanan pemimpin terdahulu serta nilai perpaduan yang menjadi asas pembentukan negara tidak dilupakan.
Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, pemahaman terhadap sejarah penting supaya masyarakat khususnya generasi muda dapat menghargai keamanan, kemajuan dan kepelbagaian yang dinikmati negara sejak pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
“Sejarah mengingatkan kita dan sejarah juga menegur kita untuk berusaha mewujudkan satu situasi yang baik dalam bahagian kita dan Malaysia.
“Pemimpin kita dahulu mempunyai fikiran dan wawasan yang jauh untuk melihat kita hidup bersama dalam satu konsep, dalam satu rumah yang besar dengan aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Bintulu di sebuah kompleks beli-belah di sini, hari ini.
Datu Nyurak memberitahu, sambutan Hari Malaysia tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai acara tahunan, sebaliknya menjadi kesempatan untuk masyarakat memahami bagaimana negara dibentuk melalui persetujuan dan perjuangan pemimpin pelbagai kaum serta wilayah.
Menurutnya, perjalanan Malaysia sepanjang 63 tahun turut membuktikan bahawa pembangunan negara bukan berlaku secara serta-merta, sebaliknya hasil usaha berterusan daripada generasi ke generasi.
Beliau berkata, perubahan yang berlaku di Bintulu sendiri menjadi contoh jelas bagaimana sebuah kawasan yang dahulunya mempunyai kemudahan dan akses terhad kini berkembang menjadi pusat pembangunan serta perindustrian yang penting.
“Dahulu kalau dari kawasan luar hendak ke Bintulu, perjalanan mengambil masa yang panjang dan banyak bergantung kepada pengangkutan sungai. Hari ini kita melihat keadaan yang jauh berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak mengambil mudah keamanan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini, sebaliknya bersama-sama mempertahankan perpaduan tanpa mengira kaum dan agama.
“Tidak ada beza Penan, Melayu, Iban atau Cina. Kita tinggal bersama dan kita dapat hidup bersama. Inilah konsep negara yang perlu kita pertahankan,” katanya.
Datu Nyurak turut menggalakkan masyarakat menzahirkan kecintaan kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak sebagai simbol semangat patriotisme sempena sambutan Hari Malaysia.
Ujarnya, semangat cintakan negara perlu diterjemahkan melalui tindakan seharian bagi memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu.





