LONDON: Arne Slot berkata dia semakin memahami skuad bimbingannya, Liverpool setiap hari ketika dalam usaha untuk memburu empat trofi dalam musim pertamanya sebagai pengurus.
Liverpool, yang akan menentang Brighton, esok hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
Mereka telah memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan cemerlang dan berjaya melangkah ke suku akhir Piala Liga.
Secara keseluruhan, skuad The Reds memenangi 12 daripada 14 perlawanan dalam semua pertandingan, dengan hanya satu kekalahan.
Slot, yang menggantikan Jurgen Klopp sebagai pengurus Liverpool, ditanya dalam sidang media pra perlawanan, hari ini mengenai apa yang sudah dipelajarinya tentang keupayaan skuadnya untuk bersaing memburu empat trofi musim ini.
“Anda belajar setiap hari, terutamanya jika anda belum lama bersama pasukan seperti saya,” katanya.
“Anda belajar setiap hari daripada situasi baru, dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perlawanan Chelsea (menang 2-1) adalah sesuatu yang saya pelajari daripada mereka, bahawa mereka boleh bertahan dengan baik dan mempertahankan kelebihan.
“Cara mereka bangkit semula ketika menentang Arsenal (seri 2-2) cukup positif, dan jumlah perlawanan yang kami perlu mainkan, dan mereka masih mampu hadir serta bermain bola sepak yang baik, itu juga sesuatu yang anda dapat lihat.”
Slot, berkata pemain simpanannya mencetuskan impak positif dalam kemenangan 3-2 ke atas Brighton pada pusingan keempat Piala Liga, semalam.
“Kami akan memerlukan mereka sepanjang musim,” katanya.
“Jadi bagus untuk melihat bahawa mereka sudah berada pada tahap yang diperlukan untuk bermain bagi kami.” – AFP