

KUCHING: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa semakin berkurangan berbanding semalam.
Laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pagi ini merekodkan seramai 1,534 mangsa daripada 460 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berlindung di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding seramai 1,570 mangsa semalam, selari dengan keadaan cuaca yang semakin baik di beberapa kawasan.
Bagaimanapun, Mukah dan Bintulu masih mencatat jumlah mangsa tertinggi, masing-masing dengan 603 dan 612 orang di PPS yang masih aktif.
Sementara itu, Miri merekodkan sedikit penurunan kepada 288 mangsa berbanding 321 sebelum ini.
JPBN turut memaklumkan bahawa trend pemindahan mangsa secara keseluruhan menunjukkan penurunan di kebanyakan kawasan.
Tambahnya, penduduk di kawasan berisiko masih dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Oleh MASRIN AFFIRAH