LCDA terus perkasa pembangunan berteraskan komuniti di Lawas

Facebook
WhatsApp
RASMI...Awang Tengah merasmikan Program LCDA Berambeh ke Lawas bertemakan “LCDA Bersama Komuniti” sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dataran Bandar Lawas hari ini.

LAWAS: Sambutan Ulang Tahun Ke-45 Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LCDA) menjadi wadah untuk menilai kembali sumbangan dan peranan agensi itu dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak serta memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sambutan itu penting kerana diraikan bersama komuniti, selaras dengan pendekatan kerajaan Sarawak yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai fokus utama pembangunan.

Katanya, pembangunan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana ia mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, menyediakan kemudahan lebih baik dan membuka peluang ekonomi kepada masyarakat.

“Dalam konteks pembangunan negeri, LCDA mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan Sarawak mengoptimumkan potensi tanah serta melaksanakan pembangunan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

“Peranan LCDA bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal, tetapi turut melibatkan perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan projek pembangunan dengan mengambil kira keperluan komuniti serta hala tuju pembangunan kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program LCDA Berambeh ke Lawas bertemakan ‘LCDA Bersama Komuniti’ sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dataran Bandar Lawas, hari ini.

Menurutnya, peranan LCDA dapat dilihat menerusi beberapa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dan dirancang di Lawas, termasuk Redevelopment of Trusan Bazaar.

Katanya, projek berkenaan merupakan usaha membangunkan semula kawasan Trusan dengan komponen seperti kemudahan komersial, pasar tamu, masjid, kawasan parkir dan kemudahan infrastruktur, dengan LCDA dilantik sebagai agensi pelaksana dan peneraju pembangunan.

“Pembangunan ini penting kerana kita mahu kawasan seperti Trusan bukan sahaja mempunyai infrastruktur yang lebih tersusun, tetapi turut menyediakan ruang untuk aktiviti ekonomi, keusahawanan, kemudahan awam dan aktiviti komuniti,” katanya.

Dalam aspek perumahan rakyat, katanya, LCDA turut melaksanakan pembinaan 15 unit rumah mampu milik menerusi Skim Pembesaran Kampung Trusan Bazaar bagi menempatkan semula penduduk yang terjejas akibat pembangunan semula Trusan Bazaar.

“Rumah-rumah ini dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan disasarkan siap pada penghujung Ogos 2026,” katanya.

Selain itu, LCDA turut melaksanakan pembangunan di Long Tuan menerusi Skim Pembesaran Kampung Long Tuan yang melibatkan pembinaan 20 unit rumah sesebuah serta kerja-kerja infrastruktur dan disasarkan siap pada penghujung 2027.

“Pembangunan ini menyediakan persekitaran penempatan yang lebih terancang, selesa dan sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.

“Manakala di Kampung Dato Kuala Lawas pula, LCDA sedang melaksanakan pembangunan waterfront yang merangkumi dewan serbaguna, Pusat Islam, menara jam, naik taraf masjid sedia ada, menara dan pentas,” katanya.

Awang Tengah berkata, usaha berkenaan mencerminkan pendekatan pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selain memperkukuh identiti serta potensi sesuatu kawasan.

“Kita mahu pembangunan Lawas bergerak secara seimbang dengan mengambil kira aspek perumahan, kemudahan awam, ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Lawas mempunyai kedudukan strategik di utara Sarawak serta hubungan rapat dengan Brunei Darussalam.

Katanya, hubungan rentas sempadan yang telah lama terjalin bukan sahaja penting dari segi perdagangan dan ekonomi, malah menghubungkan masyarakat melalui hubungan kekeluargaan, budaya dan kehidupan seharian.

“Saya mahu LCDA terus memperkukuh peranannya sebagai agensi pembangunan yang responsif, profesional dan berorientasikan rakyat.

“Setiap perancangan dan pelaksanaan projek hendaklah sentiasa mengambil kira keperluan komuniti, potensi kawasan serta matlamat pembangunan Sarawak,” katanya.