SERIAN: Kebakaran sebuah bengkel di Jalan Bunga Melor, di sini, berjaya dipadamkan pemilik sebelum pasukan bomba tiba malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.01 malam.
“Setibanya di lokasi pada 9.05 malam, pasukan bomba mendapati kebakaran di bengkel berkenaan telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pemilik.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi punca api atau bahaya lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemeriksaan turut dijalankan terhadap beberapa kenderaan yang berada berhampiran lokasi kejadian dan mendapati terdapat sedikit kesan kebakaran pada bahagian tempat duduk belakang sebuah kereta jenis Proton Waja.
Katanya, keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal selepas pemeriksaan serta pemantauan selesai dijalankan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian.




