SINGAPURA: Dalam usaha untuk mengaktifkan kembali statusnya sebagai hab udara dalam persekitaran pandemik Covid-19, Singapura mungkin akan mempertimbangkan untuk membenarkan pengembara udara dari beberapa negara atau rantau yang berjaya mengawal wabak itu, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung.
“Singapura dapat mempelbagaikan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk perjalanan perniagaan dan juga memperluaskannya untuk perjalanan umum,” katanya dalam ucapan Hari Kebangsaan negara itu di kementeriannya di sini pada Jumaat.
“Harus menjalani tempoh pengasingan atau atau kuarantin selama 14 hari adalah penghalang utama bagi pengembara dan kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk menggantinya dengan proses ujian yang lebih ketat,” katanya.
Ong mengambil maklum bahawa pertimbangan kesihatan dan ekonomi itu, masing-masing tidak bertentangan, kerajaan akan mencari jalan untuk merancakkan semula hab udara Singapura dan pada masa yang sama memastikan negara itu selamat.
Setakat ini, Singapura mempunyai persetujuan pengaturan mengenai RGL antara China dan Malaysia.
Ong berkata penularan Covid-19 itu menjadikan Lapangan Terbang Changi kembali kepada keadaan pada tahun 1981 apabila Terminal Satu dibuka buat pertama kali.
“Pada awal 1980-an, kebanyakan syarikat penerbangan belum memutuskan untuk datang ke Lapangan Terbang Changi. Kerajaan berusaha keras untuk syarikat penerbangan untuk mendarat di lapangan terbang itu. Hari ini, banyak syarikat penerbangan beroperasi di sini dan Changi telah berkembang menjadi sebuah lapangan terbang bertaraf dunia,” katanya.
Ong berkata cabaran sekarang adalah untuk meningkatkan jumlah penumpang dan pada masa yang sama mengawal penularan wabak tersebut.
“Pilihan terbaik adalah untuk memilih negara dan wilayah di mana profil risiko penularan virus adalah sama ada serupa atau lebih baik daripada Singapura. Termasuk trafik transit-pemindahan, mereka menyumbang sekitar 40 peratus daripada jumlah penumpang di lapangan terbang itu sebelum berlakunya penularan Covid-19,” katanya.
Ong berkata Lapangan Terbang Changi pernah merekodkan lebih daripada 1,000 pergerakan pesawat sehari, sekarang hanya sekitar 150 sahaja.
Ia adalah lapangan terbang ketujuh paling sibuk di dunia dari segi trafik penumpang antarabangsa, kini turun kepada kepada kedudukan ke-50.
“Lebih buruk, Singapura tidak memiliki perjalanan udara domestik. Lapangan Terbang telah berusaha untuk mengembalikan permintaan dengan pelbagai cara.
“Pesawat kargo masih menggunakan Lapangan Terbang Chang, tetapi ia hanya sekitar 5.0 peratus daripada jumlah penerbangan sebelum berlakunya penularan Covid-19. Kami telah mula membenarkan penumpang transit dan pemindahan namun ia hanya mampu menyumbang sepertiga daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang di Changi.
“Ketika ini, Changi menerima sebanyak 400 pergerakan penumpang sehari atau 150,000 dalam setahun berbanding 20 juta setahun sebelum berlakunya penularan wabak tersebut,” katanya.- Bernama