KUCHING: Podcast Borak Kenyalang meneruskan episod kedua dengan mengetengahkan isu hak Sarawak dalam pembentukan Malaysia serta perkembangan terkini pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Episod kali ini menampilkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dengan wartawan Utusan Sarawak, Shahrul Qaizat, bertindak sebagai moderator.
Perbincangan memberi tumpuan kepada beberapa isu utama yang menjadi perhatian rakyat Sarawak, termasuk pemberian khas kepada negeri ini, pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak serta sejauh mana tuntutan dan hak Sarawak di bawah MA63 telah dilaksanakan.
Antara perkembangan semasa yang disentuh ialah pengumuman Kerajaan Persekutuan menaikkan pemberian khas interim Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion berkuat kuasa tahun ini. Bagaimanapun, formula mampan bagi menentukan kadar pemberian khas tahunan masih dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Perbincangan turut mengupas asas formula pemberian khas, hak kewangan Sarawak serta persoalan sama ada bayaran interim itu merupakan penyelesaian muktamad atau sebahagian daripada proses rundingan yang masih berjalan.
Isu representasi politik Sarawak dan Sabah di Parlimen turut menjadi tumpuan susulan persetujuan pada prinsip Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan nisbah kerusi kedua-dua negeri berkenaan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata perkara itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Selain membincangkan perkara yang telah dicapai, episod ini turut cuba menjelaskan kepada rakyat perkara yang masih dalam rundingan dan tuntutan yang belum diselesaikan di bawah MA63.
Perbincangan kemudian membawa isu berkenaan lebih dekat kepada generasi muda, termasuk persoalan bagaimana pelaksanaan hak Sarawak memberi kesan kepada kehidupan rakyat dari aspek pembangunan, kewangan negeri, kuasa negeri dan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan.
Episod kedua turut menyentuh peranan wanita dalam politik Sarawak, termasuk persediaan Wanita PBB menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, representasi wanita sebagai calon serta penglibatan generasi muda dalam politik.
Menerusi Borak Kenyalang, Utusan Sarawak meneruskan ruang perbincangan bersama tokoh dan pemimpin berkaitan isu yang mempunyai kaitan langsung dengan sejarah, pentadbiran, hak negeri serta masa depan Sarawak.
Episod kedua Borak Kenyalang boleh ditonton menerusi platform digital rasmi Utusan Sarawak, termasuk Facebook dan TikTok Borak Kenyalang.
Oleh Afiq Sallehi





