Simulasi naratif digital perkasa kesiapsiagaan JKDM hadapi krisis media sosial

Facebook
WhatsApp
KENANGAN…Lebih 30 anggota JKDM dari seluruh negara merakam gambar kenangan selepas menamatkan Kursus Pengurusan Media Strategik dan Digital di AKMAL Cawangan Sarawak. Foto Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak

KUCHING: Simulasi kawalan naratif digital menjadi antara pendekatan strategik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam memperkukuh kesiapsiagaan anggotanya untuk mengurus isu serta menangani krisis yang tercetus di media sosial secara lebih pantas dan berkesan.

Penolong Kanan Pengarah Kastam (PKPK II), Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak, Deswita Santari Abdul Khalik berkata, pendedahan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Kursus Pengurusan Media Strategik dan Digital yang berlangsung di sini dari 3 Ogos hingga hari ini.

Menurut beliau, kursus berkenaan bertujuan memantapkan kemahiran sedia ada anggota JKDM supaya mampu bertindak lebih proaktif sebelum sesuatu isu berkembang menjadi krisis yang boleh menjejaskan imej organisasi.

“Kita sudah memiliki kemahiran sedia ada, namun kursus ini diadakan bagi memperkukuh lagi keupayaan anggota untuk bertindak secara lebih proaktif sebelum sesuatu isu bertukar menjadi krisis besar.

“Peserta juga didedahkan dengan realiti operasi bilik berita serta peranan yang perlu dimainkan oleh agensi penguat kuasa dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan pantas kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, kursus itu disertai lebih 30 anggota pelbagai pangkat dari ibu pejabat dan cawangan JKDM di seluruh negara bagi meningkatkan kompetensi dalam pengurusan komunikasi strategik.

Sepanjang program tersebut, peserta diberi pendedahan kepada penggunaan beberapa alat forensik digital dan pemantauan sentimen asas seperti InVID WeVerify, Google Reverse Image Search, X Advanced Search, Google Trends serta Boardreader bagi membantu mengesahkan maklumat dan menilai perkembangan isu di platform digital.

Selain itu, mereka turut menjalani latihan praktikal menghasilkan pelbagai bahan komunikasi termasuk penulisan kenyataan balas pantas, kenyataan media, kandungan media sosial, reka bentuk infografik serta kaedah mengendalikan sidang media secara berkesan.

Bengkel selama empat hari itu dikendalikan oleh pakar rujuk daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berkongsi kepakaran berkaitan pengurusan media strategik, komunikasi krisis dan penyampaian maklumat dalam era digital.

Penganjuran kursus tersebut mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam memperkukuh kecekapan komunikasi organisasi agar setiap isu dapat ditangani secara profesional, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap peranan dan kredibiliti jabatan.