SADONG JAYA, 19 November: Kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab pengguna perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi yang bijak membuat pilihan, berani menyuarakan hak serta tidak mudah terpedaya dengan amalan perniagaan yang merugikan.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah mengadakan Program Pendidikan Kesedaran Kepenggunaan bersama pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud, di sini.
Menurut kenyataan KPDN Sarawak, program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan serta pemahaman pelajar mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna dalam kehidupan seharian.
Menerusi program itu, para pelajar diberikan pendedahan berkaitan aspek perlindungan pengguna, peranan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) serta saluran aduan rasmi KPDN yang boleh dimanfaatkan sekiranya berdepan isu kepenggunaan.
Turut diketengahkan ialah konsep “Suara Pengguna sebagai Kuasa Pengguna” yang menekankan kepentingan keberanian pengguna untuk bersuara, mengambil tindakan dan mempertahankan hak mereka apabila berhadapan dengan sebarang masalah berkaitan barangan atau perkhidmatan.
Program tersebut diwakili Ketua Seksyen Kepenggunaan dan Pengurusan KPDN Sarawak, Juridah Johari serta Monica Lija.
Selain sesi perkongsian ilmu, brosur berkaitan kepenggunaan turut diedarkan sebagai bahan rujukan kepada warga sekolah bagi memperkukuh pemahaman mengenai isu berkenaan.
Para pelajar juga diberikan maklumat mengenai peluang menyertai Kelab Pengguna Sekolah (KPS) serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai platform memperluas penglibatan dalam aktiviti pendidikan kepenggunaan.
Sambutan positif yang diterima daripada para pelajar mencerminkan minat golongan muda untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka serta membentuk amalan kepenggunaan yang lebih bijak dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, KPDN Sarawak merakamkan penghargaan kepada Pengetua SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Julia Kana, Penolong Kanan Kokurikulum, Rozana Besiri serta Penasihat Kelab Pengguna Sekolah, Hanisah Hamdan atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
KPDN Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus memperluas pendidikan kepenggunaan bagi melahirkan generasi yang celik hak, berani bersuara dan proaktif dalam melindungi kepentingan pengguna.
Oleh Adi Safarman




