LAWAS, 19 November: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan memulakan kerja penggerudian dan kajian menyeluruh bagi penerokaan gas di utara Sarawak menerusi pelaburan bernilai RM500 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerja lapangan itu meliputi kawasan dari Sibuti di Bahagian Miri hingga ke Bahagian Limbang, termasuk Daerah Lawas.
Menurutnya, langkah itu susulan kajian awal yang menunjukkan potensi kewujudan sumber gas di kawasan antara Lawas dengan Sibuti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Semarak Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di Stadium Tertutup Lawas, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata, pembangunan pelabuhan laut dalam di Lawas dijangka dapat mengurangkan kos pembinaan di daerah itu menerusi penjimatan kos pengangkutan bahan binaan.
Katanya, kos pembinaan di Lawas ketika ini antara 20 hingga 25 peratus lebih tinggi berbanding kawasan lain di Sarawak.
“Disebabkan itu kita akan memulakan (operasi) jeti dahulu supaya kapal-kapal yang membawa bahan binaan dapat menggunakan kemudahan ini,” katanya.
Lawas kini mendapatkan beberapa bahan binaan, termasuk batu granit, dari kawasan lain di Sarawak dan luar negara bagi memenuhi keperluan pembangunan setempat.
Kedudukan Lawas yang jauh dari pusat pembekalan utama serta akses jalan raya yang terhad menyebabkan kos penghantaran bahan binaan lebih tinggi.
Awang Tengah berkata, pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara Sarawak dan Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) juga dijangka menambah baik hubungan jalan raya di kawasan itu serta memudahkan penghantaran bahan binaan.
“Dengan adanya rangkaian jalan raya, ia satu perkara yang dapat memudahkan dan akan mengurangkan lagi kos bahan binaan,” katanya.
Kajian awal bagi pembangunan pelabuhan laut dalam itu mendapati perairan sekitar Pulau Sari, Lawas mempunyai kedalaman semula jadi antara 20 hingga 25 meter.
Pemetaan kawasan itu dilakukan pada awal 2022 oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang ketika itu Timbalan Menteri Pengangkutan, bersama pasukan pemetaan laut dan maritim dari Wilayah Persekutuan Labuan.
Oleh Adeng Edrus




