YANG di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib akan menjadi tetamu kehormat pada sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri yang akan diadakan di Simanggang, Sri Aman.
Sambutan tahun ini yang bertemakan Malaysia Prihatin turut akan menyaksikan kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beserta isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Acara sambutan akan dimulakan pada petang 30 Ogos dengan Malam Mesra Ambang Sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Hotel Sri Simanggang dengan hanya dihadiri seramai 250 orang jemputan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sambutan pada malam itu akan diserikan persembahan kebudayaan dan hiburan lain oleh ahli-ahli Majlis Kesenian Sarawak dan penduduk tempatan Sri Aman dan akan disusuli dengan penyampaian surat pelantikan kepada pemimpin masyarakat oleh Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri.
Selain itu, acara lain adalah ucapan alu-aluan oleh Menteri yang bertanggungjawab untuk sambutan iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum Ketua Menteri dijemput untuk menyampaikan ucapannya.
Manakala keesokan paginya pada 31 Ogos, Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri serta para kenamaan yang lain dijangka akan menyertai program ‘Unity Walk’ bermula dari Dewan Suarah Sri Aman pada 9.00 pagi.
Mereka akan berjalan sejauh 2.5 kilometer (km) dan disertai kira-kira 250 orang dari pelbagai bangsa dan latar belakang yang mengenakan pakaian tradisional mereka berjalan bersama untuk menunjukkan perpaduan kaum yang ada di negeri ini dengan melalui pusat bandar, tepian pantai dan seterusnya kembali semula ke Dewan Suarah.
Sebelum berjalan, persembahan video khas bertajuk ‘wira’ akan ditayangkan selepas ucapan oleh Abdul Karim dan kemudian Ketua Menteri turut akan menyampaikan ucapan sebelum Yang di-Pertua mengibarkan bendera.
Timbalan ketua menteri, menteri dan menteri muda serta pemimpin tempatan turut akan menghadiri kedua-dua acara berprestij itu.
Oleh Zarina Abdullah