KUCHING: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan kerajaan Sarawak untuk mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu dengan cekap selepas pengambilalihan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata penyerahan itu adalah pencapaian signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia.
“Saya ulangi keyakinan Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengurus serta mengendalikan Pelabuhan Bintulu dengan cekap dan sebaiknya, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan penyerahan Warta Kerajaan Persekutuan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.
Pelabuhan Bintulu kini rasmi di bawah pentadbiran kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 September 2026 selepas proses pengambilalihan daripada Kerajaan Persekutuan selesai.
Pengambilalihan itu membabitkan pampasan RM1.8 bilion yang dibayar kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan manakala status pelabuhan berubah daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri susulan penguatkuasaan Akta 858 dan Akta 859.

Lembaga Pelabuhan Bintulu turut dibubarkan dan fungsi pihak berkuasa pelabuhan kini diambil alih Bintulu Port Authority (Sarawak), sebuah badan berkanun negeri yang ditubuhkan pada 1 September 2024.
Pelabuhan berkenaan merupakan antara infrastruktur strategik Sarawak, khususnya dalam menyokong aktiviti perindustrian dan eksport gas asli cecair (LNG).




